CHEMOR, 9 Mei 2025 – Kelab Mahasiswa INSPIRASI dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Ukur Bahan (PERUBAHAN) UiTM Cawangan Perak telah menganjurkan program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) di Yayasan An Nur Maisarah, Chemor, Ipoh pada 3 Mei 2025.
Seramai 31 sukarelawan, terdiri daripada ahli Kelab INSPIRASI dan PERUBAHAN serta penasihat kelab, terlibat dalam perancangan dan pengurusan program ini. Mereka berpeluang menyantuni hampir 30 penghuni yayasan yang merupakan anak-anak yatim dan asnaf lelaki berusia antara 8 hingga 18 tahun.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran yayasan, permainan tradisional, makan tengah hari bersama penghuni, dan sesi ramah-mesra. Program ini bertujuan memberi sokongan moral dan meningkatkan kesejahteraan emosi dalam kalangan penghuni yayasan.
Menurut Presiden Kelab Mahasiswa INSPIRASI, Muhammad Nuqman Hazieq Bin Azlizan, program ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa. “Kami ingin membina modal insan yang baik serta memberi impak positif kepada masyarakat melalui program khidmat bakti ini,” ujar beliau.
Penasihat Kelab INSPIRASI, Puan Najma Binti Azman, turut menyatakan rasa bangga terhadap usaha mahasiswa yang terlibat. “Kolaborasi antara dua kelab/persatuan ini membuktikan bahawa mahasiswa UiTM Cawangan Perak sentiasa peka terhadap isu masyarakat melalui pemerkasaan strategik mahasiswa dalam usaha menyalurkan sumbangan kepada komuniti setempat,” katanya.
Penghuni Yayasan Amanah An Nur Maisarah meluahkan rasa terharu dan gembira dengan kehadiran serta sokongan moral yang diberikan oleh para sukarelawan. OPKIM ini berjaya mencapai matlamatnya dalam membina hubungan erat antara mahasiswa dan komuniti serta menyemai sifat prihatin dalam kalangan generasi muda, dan diharapkan usaha murni ini dapat diteruskan pada masa akan datang.