Latihan Detachment Bulan Sabit Merah Malaysia UiTM Shah Alam

Shah Alam, 19 April 2025 – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang UiTM Selangor (Kampus Shah Alam) telah menganjurkan Program Latihan Detachment Bulan Sabit Merah Malaysia yang bertempat di Department of International Affairs (DIA), UiTM Shah Alam. Program ini melibatkan penyertaan seramai 72 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM yang merupakan ahli aktif BSMM.

Program ini dianjurkan bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran asas pertolongan cemas dalam kalangan peserta, khususnya teknik angkatan usungan, penggunaan anduh, serta balutan luka. Di samping itu, program ini turut berperanan sebagai persediaan awal sebelum peserta menyertai Kursus Latihan Bencana Alam (LBA).

Melalui program ini, para pelajar berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung terhadap latihan pertolongan cemas dan pengurusan kecemasan asas. Penglibatan aktif dalam aktiviti seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran praktikal para pelajar badan beruniform BSMM, malah turut membentuk jati diri, disiplin serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.