Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 1/2025: Kukuhkan Ilmu Rumah Tangga Pelajar

PUNCAK ALAM, 4 MEI 2025 – Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Rafflesia telah berjaya menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan Islam Siri 1/2025. Seramai 144 orang peserta dalam kalangan pelajar telah menyertai kursus tersebut yang berlangsung pada 3 dan 4 Mei 2025 di UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam. Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk membekalkan ilmu asas mengenai tanggungjawab suami isteri, di samping mengurangkan risiko perceraian dengan persediaan yang lebih mantap.

Kursus ini merangkumi pelbagai topik penting seperti tasawwur Islam, prosedur perkahwinan, pengurusan kewangan, tanggungjawab suami isteri, kesihatan keluarga, pengurusan stres dan konflik, serta pembubaran perkahwinan. Antara penceramah jemputan adalah Ustaz Mohd Farhan Mohd Ariff, Ustazah Norazean Ashari, Ustaz Suhaimi Ahmad Wakid, Ustazah Maryam Md Zin, Encik Safruddin Sahalan, Ustaz Rif’at Basya Halik Bassah dan Ustazah Nik Suhaila Nik Hussin.

Usaha ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa ilmu kekeluargaan, seterusnya menyokong pembinaan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan berteraskan nilai murni. Semoga dengan pelaksanaan kursus ini dapat memberi kesedaran dan pendedahan awal kepada para peserta dalam membina sebuah keluarga yang hidup rukun dan menghargai antara satu sama lain.

 

Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar

Editor: Nor Azyyati Md Saad