PUNCAK ALAM, 4 MEI 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Selangor sesi 2024/2025 telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi UiTM Cawangan Selangor 2025 menghimpunkan 174 mahasiswa terdiri daripada wakil Majlis Tertinggi Kelab & Persatuan Hal Ehwal Pelajar dari tiga kampus Puncak Alam, Puncak Perdana dan Sungai Buloh pada 2 hingga 4 Mei 2025.
Kursus ini memberi pendedahan menyeluruh dalam aspek pengurusan organisasi serta memupuk bakat kepimpinan dinamik dalam kalangan pemimpin pelajar UiTM Cawangan Selangor. Hadir meluangkan masa adalah YBrs. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamad Hafiz Mamat, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, UCS mewakili Rektor.
Inisiatif penganjuran kursus seperti ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan peserta dalam aspek pengurusan organisasi, malah menjadi platform strategik untuk menyemai nilai tanggungjawab, integriti serta kepimpinan yang berkesan dalam kalangan pelajar. Usaha berterusan ini jelas mencerminkan kesungguhan UiTM dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya bersaing dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pada masa hadapan.
#UCSCemerlang
Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar
Editor: Nor Azyyati Md Saad