
Shah Alam, 16 Mei 2025 – Program Icons Among Us anjuran Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan sembilan (9) tokoh alumni dalam Buku Wajah-wajah Alumni Citra Bitara pada 24 April 2025. Tujuan program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah serta memperkukuh jaringan antara warga KPPIM dan para alumni, di samping mendapatkan pandangan kritis daripada alumni demi menyokong pembangunan dan kemajuan institusi.
Majlis yang telah dirasmikan oleh Yg. Brs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM, menyaksikan pelancaran rasmi Alumni Wall of Fame sebagai simbol pengiktirafan kepada kejayaan alumni dalam pelbagai bidang. Turut hadir memberi sokongan ialah Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti, Pengarah Pusat Jaringan Alumni UiTM.

Selain itu, satu sesi Perbincangan Meja Bulat yang melibatkan kesemua sembilan tokoh alumni turut mencetuskan perbincangan penuh inspirasi, mengupas dua tema utama iaitu Alumni Empowerment dan Alumni: Partners in Progress. Perbincangan ini menyoroti peranan aktif alumni dalam menyumbang kepada pembangunan institusi, bukan hanya sebagai bekas pelajar, tetapi sebagai rakan strategik melalui perkongsian ilmu, bimbingan profesional dan sumbangan sumber. Ia turut mengetengahkan inisiatif bagi memupuk semangat giving back, bukan sahaja daripada alumni kepada UiTM, tetapi juga daripada UiTM kepada alumni, sekaligus mencerminkan hubungan dua hala yang saling menguntungkan dan memperkukuh kecemerlangan bersama.
Penulis: Dr Nur Hazwani Aqilah Abdul Wahid
