
SERI ISKANDAR, 18 April – Gamuda Engineering Sdn Bhd telah mengadakan sesi penerangan mengenai penggunaan Autodesk Construction Cloud (ACC) kepada pelajar semester 6 Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Pembinaan di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Inisiatif pengajaran kolaboratif bersama industri ini dianjurkan oleh pensyarah Kursus Building Information Modeling (BIM) bagi memperkenalkan teknologi pembinaan digital terkini kepada pelajar.
Sesi perkongsian ilmu yang diadakan secara maya melalui platform Google Meet ini disertai oleh lebih 60 pelajar dan pensyarah Kursus BIM. ACC merupakan platform bersepadu yang mengintegrasikan pelbagai proses pembinaan dari peringkat reka bentuk hingga penyerahan projek. Wakil Gamuda Engineering Sdn Bhd berkongsi tatacara penggunaan ACC dan kepentingan penyimpanan maklumat pembinaan dalam platform tersebut. Mereka turut menyediakan model kejuruteraan untuk latihan pelajar mengaplikasikan ACC sebagai cloud-based collaboration tools.


ACC memfasilitasi komunikasi dan perkongsian maklumat masa nyata dalam industri pembinaan, sekaligus mengurangkan kesilapan, menjimatkan masa, dan meningkatkan kualiti kerja. Penggunaan ACC juga membolehkan proses pembinaan berjalan dengan lebih cekap dan sistematik. Pendedahan kepada ACC ini membantu pelajar memahami keperluan pasaran kerja, meningkatkan kompetensi mereka, serta merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.
Sesi perkongsian ilmu ini akan diteruskan setiap semester oleh pensyarah Kursus BIM dan Gamuda Engineering Sdn Bhd sebagai usaha berterusan menyokong pembangunan modal insan dalam era pembinaan digital dan Revolusi Industri 4.0.
Penulis : Ts Dr Wan Nur Syazwani Wan Mohammad, Ts Mohamad Hamdan Othman dan Mohammad Syamim Zikrie Mat Zakie
