Fakulti Sains Gunaan Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Dengan Tokyo Metropolitan University

Shah Alam, 19 Mei 2025 – Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menerima kunjungan delegasi dari Tokyo Metropolitan University (TMU), yang diwakili oleh Profesor Kotohiro Nomura pada Selasa, 13 Mei 2025. Lawatan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik melalui perbincangan kerjasama dua hala, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), serta sesi perkongsian akademik yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Mobiliti dan Pengantarabangsaan Fakulti Sains Gunaan UiTM Shah Alam, dengan kerjasama Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni serta Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Sarawak.

Perbincangan rasmi telah dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Muzamir Mahat, Timbalan Dekan Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, Fakulti Sains Gunaan, dan turut melibatkan Liason Officer UiTM Global, ChM. Dr. Nazrizawati serta wakil UiTM Cawangan Sarawak, ChM. Dr. Nor Wahida Awang. Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pertukaran idea dalam penyelidikan, peluang kolaborasi antara kedua-dua institusi, perancangan pemeteraian MoU, serta sesi temuduga calon PhD dari FSG yang berpotensi menyertai penyelidikan di TMU.

Kemuncak lawatan ini adalah Siri Syarahan Penyelidikan Antarabangsa 2/2025, yang disampaikan oleh Profesor Dr. Kotohiro Nomura, presiden Catalyst Society of Japan. Bertajuk Catalytic Chemical Recycling, Upcycling of Polyesters”, syarahan ini mengetengahkan teknologi terkini dalam kitar semula plastik dan bahan poliester. Seramai 78 peserta, terdiri daripada pensyarah, penyelidik dan pelajar pascasiswazah, telah menyertai sesi ini secara hibrid di Bilik Seminar A301, FSG, UiTM Shah Alam serta menerusi platform Google Meet.

Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan FSG dalam membina jaringan kerjasama global yang berimpak tinggi serta menyokong kecemerlangan penyelidikan rentas sempadan. Kerjasama strategik dengan tokoh antarabangsa seperti Prof. Nomura memperkukuhkan peranan FSG sebagai peneraju dalam bidang sains dan inovasi, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.