
MITEC, KUALA LUMPUR, 24 April 2025 – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah menyumbang bakti dalam program bersama industri, Boardroom Share Registrars Sdn. Bhd. (Boardroom) dalam penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Syarikat Tersenarai Awam. Seramai 20 orang pelajar telah melibatkan diri bagi program tersebut.
Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan proses sebenar penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan bagi Pemegang Saham Syarikat Tersenarai Awam di Malaysia. Disamping itu, program ini diharap dapat mewujudkan suasana perkongsian ilmu/kepakaran daripada industri kepada pelajar berkenaan gerak kerja pengendalian mesyuarat. Ia merupakan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan industri dalam meningkatkan kualiti pendidikan sedia ada serta selari dengan pencapaian SDG 4 (Quality Education). Tambahan pula, program ini juga telah memberi kesedaran terhadap kepentingan pematuhan kepada peraturan Syarikat melalui proses mesyuarat yang lancar.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kemahiran pelajar dalam pengendalian mesyuarat, memberikan peluang berinteraksi bersama industri, perkongsian kepakaran daripada industri serta meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap subjek yang dipelajari iaitu Amalan Kesetiausahaan Korporat.
Penulis bersama: Julizaerma Mohamad Khudzari, Sharifah Faatihah Syed Mohd Fuzi & Syahrina ‘Adliana Abdul Halim
