PEWANI UiTM Sabah Adakan AGM, Raikan Wanita dan Terima Geran JHEWA

KOTA KINABALU, 26 Februari 2025 – Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA (PEWANI) Cawangan Sabah telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025 dan Sambutan Hari Lahir di Dewan Tun Mustapha, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Majlis yang dihadiri ahli PEWANI, staf dan isteri staf itu telah dirasmikan oleh Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed. Majlis turut merangkumi aktiviti minum petang, sambutan hari lahir dan penyerahan hadiah.

Mesyuarat itu memberi penekanan kepada laporan aktiviti dan kewangan sepanjang tahun. Fokus utama aktiviti adalah memperkasa wanita melalui pembangunan kemahiran, pembentukan personaliti, pengurusan kesihatan dan kerja amal.

PEWANI UiTM Cawangan Sabah mencatat kejayaan dengan menerima Geran Aktiviti daripada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) pada tahun 2024 dan 2025, khususnya untuk program Seminar Wanita Hebat: Pemacu Generasi Bermatlamat.

Majlis itu bertujuan merapatkan muhibah dalam kalangan kakitangan wanita dan memberi peluang menyumbang kepada universiti dan negara.

Turut berlangsung penyampaian penghargaan kepada Jawatankuasa PEWANI UiTM Cawangan Sabah 2023/2025 atas sumbangan dan kerjasama mereka.