Pelajar FKA ke NEWater Visitor Center, Singapura dan Pusat Rawatan Kumbahan Air, Johor

Lawatan pelajar FKA ke NEWater Visitor Center, Singapura dan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Medini Iskandar, Johor.

Seramai 24 orang pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, UiTM Shah Alam bersama-sama seorang pensyarah pengiring iaitu Dr. Norashikin Bt Ahmad Kamal telah melakukan lawatan akademik selama dua hari dari 24 November hingga 25 November 2018 ke NEWater Visitor Center, Singapura dan Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Medini Iskandar, Johor.

Tujuan lawatan akademik ini dilaksanakan adalah sebagai salah satu pendedahan teknologi terkini kepada para pelajar bagi menyelesaikan permasalahan di dalam pengurusan air sisa.

Sesi lawatan dimulakan pada 24 November 2018 dengan melakukan kunjungan ke NEWater Visitor Centre, Singapura. Proses rawatan air sisa yang dijalankan di loji rawatan air sisa di sana diterangkan dan ditunjukkan secara terperinci melalui tayangan video dan lawatan tapak.

Antara proses asas yang terlibat di NEWater adalah Penyaringan Micro (Microfiltering), Reverse Osmosis dan pembasmian kuman dengan menggunakan sinar Ultraviolet. Secara asasnya, air sisa yang telah dirawat dari loji rawatan di Singapura akan disalurkan ke NEWater untuk  proses-proses rawatan air yang lebih menyeluruh dan direkabentuk bagi mematuhi standard piawaian air minuman. Air yang terhasil setelah melalui proses-proses ini adalah selamat untuk diminum.

Sesi lawatan akademik seterusnya pada 25 November 2018 adalah lawatan ke Loji Rawatan Kumbahan Berpusat Medini Iskandar, Johor. Pelajar disambut oleh jurutera Indah Water Konsortium (IWK) iaitu Cik Nabila yang memberikan penerangan secara teperinci kepada para pelajar berkenaan proses-proses rawatan kumbahan di loji tersebut.

Para pelajar mengakui lebih memahami teori-teori yang dipelajari dalam kuliah sebelum ini setelah mendengar penerangan dan melihat sendiri proses-proses rawatan kumbahan di logi tersebut.

Lawatan akademik ini juga merupakan aktiviti bagi subjek “Water Resources Engineering” dan pelajar perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah  berasaskan konsep “Problem Based Learning”.

 

Oleh: Sahidzuwan Ag Salleh

3
0