Penganjuran Syarahan Tun Abdul Razak Terkemuka ke-10 kutip RM12,950 untuk NASOM

Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (dua dari kanan) bersama Prof Sabraw (dua dari kiri) pada Syarahan Tun Abdul Razak Terkemuka ke-10 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – Ihsan UiTM

SHAH ALAM: Penganjuran Syarahan Tun Abdul Razak Terkemuka ke-10 yang membabitkan tiga institusi pengajian tinggi, baru-baru ini, berjaya mengumpulkan sebanyak RM12,950 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata selain universiti itu, dua lagi institusi terbabit dalam penganjuran siri syarahan itu ialah Universiti Ohio, Amerika Syarikat dan Universiti Putra Malaysia (UPM), selain sokongan Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sime Darby (YSD).

Katanya, sumbangan itu hasil pameran dan penjualan hasil seni 40 pelukis tempatan dari UiTM, UPM dan YSD yang terbabit dalam bengkel seni anjuran Fakulti Pendidikan UiTM serta Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) pada 30 November lalu, bertajuk `Synergy of Curiosity: From Acid to Art’.

“Kami sangat gembira Prof Sabraw (Pensyarah Seni di Universiti Ohio dan artis, John Sabraw) serta rakan sekerjanya, Prof Riefler (Pensyarah Kejuruteraan Am di universiti sama) berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka dengan pelukis muda dan fasilitator dari UiTM, UPM dan YSD dengan mengadakan bengkel sehari di UiTM,” katanya.

 

Oleh: Ruwaida Md Zain
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/12/513485/penganjuran-syarahan-tun-abdul-razak-terkemuka-ke-10-kutip-rm12950

0
0