120 pelajar, kakitangan IPTA sertai Duathlon di Gunung Jerai

Mohd. Asmirul Anuar Aris (lima dari kiri) bergambar kenangan. Turut keliharan Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said (UiTM) dengan beberapa orang peserta setelah menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Program Jerai International Duathlon 2018 di Muzium Perhutanan Gunung Jerai, Merbok, Kedah, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE/Abd. Razak Osman

MERBOK 1 Jan. – Seramai 120 orang pelajar dan kakitangan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menyertai Program Jerai International Duathlon 2018 anjuran Unit Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah di Gunung Jerai dekat sini, baru-baru ini.

Urusetia program itu, Fahizan Azizan berkata, ia melibatkan penyertaan secara perseorangan dan berkumpulan mewakili beberapa IPTA antaranya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), UiTM Cawangan Pahang, UiTM Cawangan Pulau Pinang dan tuan rumah, UiTM Cawangan Kedah.

“Inilah kali pertama program begini diadakan dan peserta dibahagikan kepada empat kategori iaitu, terbuka lelaki, terbuka wanita, pelajar dan kakitangan IPTA.

“Acara bermula dengan larian sejauh dua kilometer di dalam kampus UiTM Cawangan Kedah sebelum berbasikal sejauh 35 kilometer dari Merbok ke kawasan kaki Gunung Jerai melalui mukim Singkir dan Yan sebelum diakhiri dengan pendakian kepuncak Gunung Jerai sejauh lapan kilometer,” katanya.

Kata beliau, program diadakan itu, bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama mereka tetapi juga meningkatkan kesihatan masing-masing.

Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof. Madya Dr. Shaiful Annuar Khalid berkata, pemilihan Gunung Jerai sebagai lokasi penamat larian bertepatan dengan usaha mengenengahkan kawasan itu yang dimasyurkan sebagai kawasan Geopark Kebangsaan pada 24 November lalu.

Kejohanan sukan lasak ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Mohd. Asmirul Anuar Aris dan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohd Said.

Sementara itu, Mohd. Asmirul Anuar pula berkata, pertandingan sukan lasak seumpama itu baik dalam usaha memperkenalkan negeri ini sebagai salah sebuah lokasi sukan lasak terbaik di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Abd. Razak Osman
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/120-pelajar-kakitangan-ipta-sertai-duathlon-di-gunung-jerai-1.814076#ixzz5bQrObj15

0
0