Karya 17 alumni ITM Sri Manjung

Antara keratan akhbar dan majalah yang mengandungi berita mengenai Kumpulan Manjung.

Manjung merupakan antara 11 daerah yang terdapat dalam negeri Perak. Pada zaman kerajaan Melayu lama, daerah Manjung terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan awal negeri. 

Daerah itu terletak di dalam Parlimen Lumut yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Setiawan, Pasir Panjang dan Pangkor. Daerah Manjung amat terkenal sebagai pusat peranginan kerana lokasinya yang terletak berhampiran pantai. Antara yang terkenal sehingga ke hari ini adalah Teluk Batik, Teluk Rubiah dan Pulau Pangkor.

Institut Teknologi Mara (ITM) di Seri Manjung, Perak yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan telah berpindah ke Sri Iskandar merupakan antara pusat pendidikan terawal yang terdapat di daerah itu.

Kursus yang ditawarkan ketika itu termasuklah Seni Halus, Seramik dan Fesyen. Kursus-kursus tersebut terletak di bawah Fakulti Seni Bina dan Seni Lukis.

Melalui kursus berkenaan, pada 1996, wujudlah satu gerakan seni dikenali Kumpulan Manjung yang ahlinya terdiri daripada bekas-bekas pelajar Seni Halus, Seramik dan Fesyen.

Tujuannya adalah untuk bersama-sama berkongsi ilmu dan bertukar pendapat mengenai idea seni masing-masing.

Setelah bertahun-tahun menubuhkan kumpulan berkenaan, hanya pada 20 Disember lalu, seramai 17 alumni pelukis dan pereka telah bersama-sama mengadakan pameran Kumpulan Manjung: Manusia dan Alamnya di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Kecenderungan para pengkarya dalam pameran itu adalah untuk bersama-sama mempersembahkan idea dan karya mereka yang memberi fokus kepada kemanusiaan dan alam sejagat.

Karya “Letusan” yang dihasilkan Nurulhuda.

Emosi

Salah seorang pelukis yang mengambil bahagian, Nurulhuda Mohamed berkata, dia membawakan koleksi Letusan pada pameran berkenaan.

“Koleksi ini memaparkan letusan perasaan yang terkandung dalam Bumi. Saya ibaratkan Bumi ini sebagai manusia yang sarat dengan pelbagai emosi.

“Dengan kekuatan emosi berkenaan, rakyat berjaya membuatkan pentadbiran Malaysia bertukar. Ya, lukisan ini turut dikaitkan dengan politik kita,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pameran tersebut baru-baru ini.

Tambahnya yang kini menetap di Melaka, dia menggunakan media campuran dalam menghasilkan lukisannya seperti krayon yang dicairkan, pelakar campuran, tisu dapur dan gam.

Nurulhuda bersama tiga karyanya yang sarat dengan pelbagai emosi.

Nurulhuda juga menggunakan warna-warna terang dalam karyanya bagi menggambarkan maksud warna-warni kehidupan.

Sementara itu, Saiful Azmi Hanudin pula memaklumkan, dia menghantar dua lukisannya yang memaparkan kehidupan sebenar masyarakat di Pekan Jelai, Batu Kurau dan Kuala Sepetang, Taiping.

Kedua-dua lokasi yang terletak di Perak itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Saiful menceritakan mengenai lukisannya yang mengangkat tema sosiobudaya di Perak.

“Lukisan saya banyak memaparkan sosiobudaya masyarakat di Perak. Misalnya, lukisan pemandangan di kilang arang kayu Kuala Sepetang ini menunjukkan anak muda sedang bekerja sambil diperhatikan golongan lebih tua.

“Gambar di Pekan Jelai ini pula menunjukkan rumah kedai yang masih utuh berdiri walaupun menggunakan kayu lama berwarna merah,” terangnya yang berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelai, Batu Kurau.

Selain dua daripada mereka, antara nama-nama lain yang turut terlibat pada pameran berkenaan ialah Fairus Ahmad, Idarina Ibrahim, Nadiah Mohamad, Zaitul Effa Baharudin dan ramai lagi.

 

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/varia/karya-17-alumni-itm-sri-manjung-1.810024

 

0
0