Celcom Axiata, UiTM jalin kerjasama lahirkan pereka teknologi

Zuraida dan Dr Hassan pada majlis memeterai MoU di UiTM Shah Alam. – Ihsan UiTM

SHAH ALAM: Celcom Axiata Bhd (Celcom) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menjalin kerjasama dalam melahirkan pereka teknologi dalam kalangan komuniti sekolah.

MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Korporat Celcom, Zuraida Jamaluddin dan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said pada satu majlis di Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), UiTM Shah Alam.

MoU itu akan menyaksikan kerjasama kedua-dua pihak dalam menggabungkan tenaga dan sumber industri akademik bagi membentuk minat, kepakaran dan minda generasi muda untuk menghadapi revolusi perindustrian keempat.

Zuraidah berkata, sebanyak 20 sekolah terpilih membabitkan 400 murid dalam kalangan asnaf fisabilillah, menerusi projek yang dipanggil ‘Young Digital Innovator Programme’ (YDPI).

Katanya, budaya inovasi penting, namun segelintir daripada mereka tidak ada akses dalam mengembangkan idea berasaskan teknologi.

“Kesemua murid yang terpilih akan mereka bentuk 140 projek berasaskan teknologi dalam menyelesaikan masalah harian.

“Mereka juga akan dibimbing oleh pensyarah dari UiTM serta pelajar universiti berkenaan yang akan menjadi mentor kepada murid terbabit.

“YDPI akan dijalankan selama sembilan bulan dan pada pengakhiran program, satu pertandingan akan diadakan dengan kesemua 140 projek bakal dipamerkan, Ogos tahun depan,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Pada majlis itu, Celcom turut menyerahkan replika cek bernilai RM150,600 kepada UiTM bagi menjayakan program YDPI.

Sementara itu, Hassan berkata, program itu secara tidak langsung akan menjadikan masyarakat di negara ini lebih bersedia untuk menghadapi ekonomi baharu yang berasaskan teknologi.

“Di peringkat UiTM, usaha ini akan diterajui oleh entiti kecemerlangan ‘Maker Talent for Digital Innovation’ (MTDI) melalui usaha sama Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Akademik Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan Fakulti Pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Celcom turut menyerahkan replika cek bernilai RM50,000 serta dua ‘mobile food carts’ menerusi Program Siswapreneur bagi kegunaan pelajar asnaf di UiTM untuk menjana pendapatan dalam menampung kehidupan mereka di universiti.

 

Oleh: Faliq Lajim
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/12/513346/celcom-axiata-uitm-jalin-kerjasama-lahirkan-pereka-teknologi

0
0