Latihan Medan Melahirkan Pegawai Kadet APM Yang Berdedikasi dan Berintegriti

SHAH ALAM, 13 Disember : Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) UiTM Shah Alam telah mengadakan Program Latihan Medan (Asas Pengurusan Bencana) 2018 bagi Platun Alpha & Bravo bermula 23 November 2018 hingga 25 November 2018 bertempat di Padang Kawad Kor SISPA dan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam.

Latihan yang disertai oleh 75 orang Pegawai Kadet Kor SISPA ini merupakan satu latihan teras yang telah dirancang dalam matapelajaran kokurikulum Pertahanan Awam khususnya bagi pelajar Semester 1 iaitu HBU112.

Kursus yang diadakan selama 3 hari 2 malam ini melibatkan pendedahan secara teori dan praktikal mengenai Kawad Kecemasan, Teknik Pertolongan Cemas ‘Basic Trauma Life Support’, Ikatan dan Simpulan Tali serta Asas Menyelamat, Pengusingan Bangunan dan Simulasi Pengusingan Bangunan ,(Roll Call) dan Simulasi Menyelamat.

Majlis Perasmian Penutup Latihan Medan 2018 ini telah dirasmikan oleh YBhg. PPj. (PA) Prof. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor, Komandan Kor SISPA UiTM. Beliau menyatakan bahawa latihan medan ini merupakan satu platform yang baik untuk melahirkan mahasiswa yang aktif, berfikiran kritis serta berpengetahuan luas mengenai ilmu menyelamat dan pengurusan bencana.

“Melalui latihan seperti ini, Pegawai Kadet APM yang berdedikasi dalam tugas dan berintegriti dapat dilahirkan serta segala ilmu Pertahanan Awam yang dipelajari semasa menganggotai Kor SISPA sewajarnya diaplikasikan dalam kehidupan seharian”, ujarnya.

Pada sesi latihan medan ini, “Alat bantuan mengajar seperti ‘body bag, properties bag, Suit DVI” dan lain-lain peralatan dalam simulasi untuk program ini telah memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran kepada para peserta sepanjang latihan medan ini berlangsung”, tambahnya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa dengan adanya bantuan peralatan sepanjang latihan, para peserta dapat merasai sendiri pengalaman menggunakan peralatan tersebut ketika menghadapi bencana. Selain itu, latihan ini menjelaskan peranan mereka sebagai anggota penyelamat serta memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan semasa menangani situasi kecemasan. Sesi pembelajaran kaedah Pengusingan Bangunan dan proses DVI yang diterapkan oleh jurulatih amatlah berguna untuk diaplikasikan oleh para peserta.

YBhg. PPj. (PA) Prof. Dr. Hjh. Roziah Mohd Janor mengingatkan semua peserta agar mempraktikkan ilmu yang diperolehi sepanjang latihan ini dalam kehidupan seharian mereka, sekaligus dapat memberi sumbangan kepada universiti dan masyarakat. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mej. (PA) Ahmad Shazrin Mohamed Azmi, AJUTAN Kor SISPA UiTM Shah Alam, Lt. (PA) Hj. Mohd Ariffin Abd. Rahman, Pegawai Penyelaras Kor SISPA UiTM serta Lt. M (PA) Muhammad Safii Bin Saniman selaku wakil Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor.

0
0