UiTM mahu jadi ‘kilang’ pemain terbaik

Contoh atlet UiTM, Meor Muhamad Azuan Hasan (Hoki) dan Nur Syafiqah Mohd Zain (Hoki) yang menyertai kontinjen negara ke kejohanan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

KUALA TERENGGANU: Pasukan UiTM bukan hanya menyasarkan kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana musim depan, tetapi memasang impian besar mahu menjadi ‘kilang’ pengeluar pemain terbaik negara.

Hasrat itu disuarakan ketua jurulatih baharu skuad The Lion Troops, Ismail Zakaria yang berkeyakinan mampu melakukan usaha melahirkan pemain berkualiti.

 “Hasrat saya bukan saja untuk berada pada kedudukan terbaik liga musim depan, tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menjadi pembekal pemain berkualiti kepada negeri dan skuad kebangsaan.
KETUA jurulatih baharu skuad The Lion Troops, Ismail Zakaria. – Foto Muhd Asyraf Sawal

“Matlamat utama ialah melahirkan pemain terpelajar, bukan saja mampu bersaing dan mendapat tempat dalam liga tempatan tetapi juga dalam liga luar negara. Ini bukan angan-angan kosong kerana mereka ada pakej, dan saya akan membuktikannya jika diberi peluang sepenuhnya untuk membentuk pemain yang berkualiti,” katanya kepada Sukan NSTP.

Musim depan, kouta pemain tempatan skuad UiTM akan dibarisi 100 peratus pemain daripada kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta berumur bawah 30 tahun.

“Selain pemain tempatan, empat awang import akan melengkapkan dan mereka akan memulakan latihan pada minggu depan.

“Bagi memastikan skuad ini tidak menerima nasib seperti UKM FC yang tidak layak beraksi musim depan, saya mencadangkan agar alumni UiTM ini dapat menyumbang dana minimum RM1 seorang sebulan, selain sokongan padu pelajar dan pengurusan,” katanya.

 

Oleh Malik Muhamad
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/12/504051/uitm-mahu-jadi-kilang-pemain-terbaik

0
0