2 IPT minat sumbang tenaga pakar

ADLY (empat dari kanan) merasmikan program sempena majlis penyerahan katil dengan kos peruntukan membabitkan RM195,350 kepada Hospital Melaka. – NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Dua pusat pengajian tinggi tempatan di negeri ini berminat menyumbang tenaga kepakaran perubatan dan perkhidmatan kejururawatan bagi merealisasikan cadangan pembinaan Hospital Universiti yang akan dibangunkan tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata kedua-dua pusat pengajian itu ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Beliau berkata, perkara berhubung cadangan pembinaan Hospital Universiti itu sedang dibincangkan susulan jawatankuasa sudah dibentuk dan diselia oleh EXCO Kesihatan negeri.

“Modul sudah ada. UiTM dan KUIM antara institusi yang berminat memberikan perkhidmatan. Cuma dari segi aspek pembangunan dan lokasi belum ditentukan sama ada mahu dibina di bangunan sedia ada atau bangunan baharu,” katanya selepas menyampaikan 75 unit katil baharu bernilai RM195,350 kepada Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong, Pemangku Pengarah Kesihatan negeri, Dr Amirullah Arshad dan Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan.

Kerajaan negeri pada September lalu bercadang membina sebuah Hospital Universiti yang dijangka dapat mengurangkan 20 peratus kesesakan pesakit di hospital kerajaan di Melaka.

Hospital itu dijangka dapat memberi manfaat kepada golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40).

Adly berkata, sumbangan katil oleh Kementerian Kesihatan itu adalah bagi menggantikan katil yang rosak dan tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Jumlah katil sedia ada di Hospital Melaka adalah sebanyak 1,091 unit dan penyelenggaraannya akan dikemas kini setiap masa,” katanya.

 

Oleh: Nurul Fhatihah Zakinan
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/503866/2-ipt-minat-sumbang-tenaga-pakar

0
0