UiTM lancar sistem e-NRs muat artikel siaran NSTP

DEKAN Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Prof Dr Sohaimi Zakaria bersama pensyarah, Dr Che Zainab Abdullah dan Eksekutif Pusat Sumber NSTP, Hamizi Abdul Hamid hadir pada majlis pelancaran dan taklimat sistem e-News Repositories (e-NRs) di Shah Alam, hari ini. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

SHAH ALAM: Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini, melancarkan sistem e-News Repositories (e-NRs) yang memuatkan artikel siaran NSTP meliputi New Straits Times (NST), BH dan Harian Metro.

Sistem berkenaan yang setakat ini memuatkan lebih 700 artikel dikumpul sejak Julai tahun lalu, dibangunkan hasil ilham pensyarah, Dr Che Zainab Abdullah, dengan turut dibantu dua rakan sekerja, Nor Zaina Zaharah Mohd Ariff dan Kasmarini Baharuddin.

Che Zainab berkata, idea asal menghasilkan sistem itu tercetus pada 2009 ketika beliau menyambung pengajian pada peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

“Ketika itu, saya sering membaca akhbar NST dan tertarik dengan kandungannya kerana memaparkan berita terkini serta mempunyai input bersesuaian dengan pembelajaran semasa.

“Malah, sepanjang tempoh berkenaan, saya menyimpan setiap keratan artikel pilihan sendiri untuk dijadikan rujukan. Kemudian, saya berfikir agak lama, apa salahnya pengisian menarik seperti ini dikongsikan dengan pelajar.

“Selepas banyak artikel berjaya disimpan dalam sistem e-NRs, ia kini boleh diakses oleh semua pelajar kami,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan taklimat sistem berkenaan, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Prof Dr Sohaimi Zakaria.

Pada majlis itu, Eksekutif Pusat Sumber NSTP, Hamizi Abdul Hamid, turut hadir berkongsi maklumat mengenai sistem e-NRs.

Sistem itu antara lain memuatkan hasil penulisan Prof Datuk Salleh Buang, Puteri Nor Ariane Yasmin, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin, Prof Datuk Dr John Antony Xavier dan Tan Sri Musa Aman, yang boleh dijadikan rujukan penting.

 

Oleh Syanty Octavia Amry
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/11/503856/uitm-lancar-sistem-e-nrs-muat-artikel-siaran-nstp

0
0