Anak nelayan pelajar cemerlang UiTM P. Pinang

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Nur Atiqah Nasser Shah memperoleh Anugerah Graduan Terbaik Khas peringkat Sarjana Muda Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang di UiTM Pulau Pinang di sini, hari ini . – UTUSAN ONLINE / AZMAN ASMAYATIM

PERMATANG PAUH 28 Nov. – Keputusan 5D dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya langsung tidak melayakkan Nur Atiqah Nasser Shah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Namun, anak kelahiran Kuala Muda dekat Penaga itu tidak berputus asa dan memohon mengikuti pengajian pra-diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

Menurut Nur Atiqah, 26, ketika di peringkat diploma juga dia sering gagal dalam peperiksaan sehingga memaksanya mengulang semula beberapa subjek sebelum akhirnya berjaya melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Saya sedar bukanlah tergolong dalam kategori pelajar pandai tetapi saya ada semangat untuk belajar. Itulah sebabnya saya tidak berputus asa biarpun beberapa kali gagal di peringkat diploma.

“Pada masa sama, ayah saya memberi dorongan untuk sambung ijazah selain saya juga memasang impian untuk memakai selempang pelajar terbaik pada hari konvokesyen,” katanya yang terpilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-89 di sini, hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad. – UTUSAN ONLINE

 

Oleh: Azeli Ali
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pulau-pinang/anak-nelayan-pelajar-cemerlang-uitm-p-pinang-1.795648#ixzz5YCZPvIxD
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0