UiTM Kampus Puncak Perdana anjur program Hari AIDS Sedunia

Siti Mariah Mahmud (tujuh dari kiri) bersama tetamu khas selepas majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE/ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM 23 Nov. – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana dekat sini menganjurkan sambutan Hari AIDS Sedunia bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat mengenai keperluan memainkan peranan sebagai pemimpin di peringkat masing-masing bagi menangani pandemik penyakit itu.

Wakil penganjur, Julina Tajul Ariffin berkata, penganjurannya juga sebagai langkah untuk menggerakkan penglibatan semua warga kampus bagi mencegah penularan HIV/AIDS.

“Di samping itu, ia dapat mengubah sikap dan meningkatkan kesedaran komuniti kampus terutama para pelajar yang majoritinya golongan belia tentang hakikat bahawa HIV/AIDS boleh dicegah.

“Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan penglibatan dan komitmen pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam usaha pencegahan HIV/AIDS di peringkat kampus,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Program tersebut mendapat kerjasama Communication for Behavioral (COMBI) UiTM Kampus Puncak Perdana; Fakulti Filem, Teater dan Animasi; Fakulti Pengurusan Maklumat; Fakulti Perubatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling.

Ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Antara aktiviti diadakan sepanjang program tersebut adalah pertandingan video pendek, pertandingan video iklan , pameran, ceramah dan kempen derma darah. – UTUSAN ONLINE

Oleh: Abdul Razak Idris
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-kampus-puncak-perdana-anjur-program-hari-aids-sedunia-1.792841#ixzz5XrbBEBXV
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0