Sambutan Luar Biasa Julung Kali FKA Alumni Charity Golf Open 2018

Kelab Alumni Fakulti Kejuruteraan Awam telah bekerjasama dengan Sekretariat Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam (SMFKA) bagi menganjurkan satu program amal iaitu “FKA Alumni Charity Golf Open 2018”.

Program golf amal ini telah diadakan di Amverton Cove Golf & Island Resort, Pulau Carey, Klang pada 18 November 2018. Program ini telah berlangsung selama sehari bermula dari jam 12.00 tengahari sehingga 9.00 malam.

Program amal ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa apabila disertai oleh 124 pemain yang terdiri daripada alumni FKA dan juga orang awam. Program amal ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar peringkat Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Pertandingan golf dijalankan bermula jam 1.30 tengahari hingga jam 5.00 petang mengikut kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan. Sesi makan malam dan penyampaian hadiah beserta sumbangan pula bermula jam 7.30 malam hingga 9.00 malam.

Program ini telah dirasmikan oleh Presiden Kelab Alumni FKA iaitu, Dato’ Ir. Rozlan Ahmad Zainuddin. Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan mengikut beberapa kategori yang dipertandingkan seperti kategori Medal A, Medal B, Bullseyes, Nearest To The Pin (NTP), Nearest to the Line (NTL) dan Longest Drive.

Pemenang pertama kategori Medal A turut memenangi piala pusingan bersempena dengan program amal yang julung kali dilaksanakan pada tahun ini. Sebelum majlis berakhir, sejumlah RM6,000 hasil dari sumbangan yang diperoleh melalui program amal ini telah disumbangkan oleh Dato’ Ir. Rozlan Ahmad Zainudin kepada wakil pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam sebagai memenuhi salah satu objektif program amal ini. Diharap program yang mendapat sambutan hangat ini, dapat dilaksanakan lagi dalam tahun yang akan datang.

Lagi gambar yang menarik:

1
0