Rawatan awal capai kadar sifar HIV/AIDS menjelang 2020

Dr Siti Mariah Mahmud (Kanan) beramah mesra bersama pelajar pada Majlis Pencegahan HIV/AIDS sempena Hari Aids Sedunia 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana. – Foto FALIQ LAJIM

SHAH ALAM: Misi kerajaan untuk mencapai kadar sifar HIV/AIDS menjelang tahun 2030 boleh dicapai menerusi langkah pencegahan dan rawatan lebih awal.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata berikutan itu, masyarakat perlu didedahkan mengenai bahaya, risiko dan kesan jangkitan HIV/AIDS.

Katanya, sebanyak 16 kes HIV dilaporkan berlaku di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini, bermula Januari hingga September tahun ini, perlu diberi perhatian.

“Berdasarkan statistik yang kami peroleh, sebanyak 11 kes HIV dilaporkan di IPT itu pada 2016. Ia meningkat kepada 19 kes pada 2017 dan peningkatan ini sangat membimbangkan. Malah, jangkitan dua jenis penyakit kelamin turut dilaporkan di IPT sama bermula Januari hingga September tahun ini dengan 10 kes membabitkan penyakit Gonorrhea dan enam kes penyakit syphilis. Jadi, Kementerian Kesihatan termasuk universiti perlu mengambil maklum mengenai HIV/AIDS yang berlaku di IPT masing-masing supaya langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan pada peringkat awal,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pencegahan HIV/AIDS sempena Hari Aids Sedunia 2018 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana, di sini.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Selangor, Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor, Md Razif Wan.

Majlis itu adalah anjuran UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Perdana dengan kerjasama Communication for Behavioral (COMBI) UiTM Kampus Puncak Perdana; Fakulti Filem, Teater dan Animasi; Fakulti Pengurusan Maklumat; Fakulti Perubatan dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling Jaya.

Dr Siti Mariah turut meminta pihak universiti serta orang ramai untuk tidak mengambil tindakan punitif seperti membuang pelajar selepas mengetahui pelajar mereka dijangkiti HIV/AIDS.

“Pihak universiti sepatutnya mengambil pendekatan melalui pendidikan. Kadang-kadang mereka tersilap langkah ketika mengenali kehidupan. Jika kita ambil tindakan membuang mereka, tiada apa yang kita akan dapat. Apabila mereka tahu dan ada kesedaran HIV/AIDS, kita perlu bimbing mereka berikutan kebanyakan mereka akan hilang arah jika disahkan menghidapinya,” katanya.

Pelbagai aktiviti dijalankan menerusi program itu, antaranya ceramah serta wancana berkenaan dadah, pengenalan HIV/AIDS dan pementasan teater ‘Aku Peduli HIV dan AIDS’.

 

Oleh Faliq Lajim
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/11/500713/rawatan-awal-capai-kadar-sifar-hivaids-menjelang-2020

0
0