FKE UiTM latih 1,066 pelajar tahfiz selamatkan diri

Dekan FKE, Profesor Ir Dr Mohd Nasir Taib (duduk dua dari kiri) dan ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi bergambar bersama pelajar ketika program latihan keselamatan bersama pelajar tahfiz di Shah Alam, hari ini. – Foto NORZAMIRA CHE NOF

SHAH ALAM: Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dianugerahkan pensijilan dan penarafan oleh Malaysia Book of Records (MBR) menerusi program latihan keselamatan bersama pelajar tahfiz di negeri ini.

Fakulti berkenaan mencatatkan namanya dalam MBR selepas berjaya melakukan latihan keselamatan, terutama kebakaran di 22 pusat tahfiz, membabitkan 1,066 pelajarnya. Bilangan minimum penyertaan pensijilan adalah 1,000 orang.

Wakil dari Malaysia Books of Record (MBR), Siti Hajar Johor (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Profesor Ir Dr Mohd Nasir Taib (kanan). – Foto NORZAMIRA CHE NOH

Pengarah program, Nurul Munirah Zamberi, berkata latihan keselamatan mengikut modul yang disediakan dijalankan serentak bermula jam 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang tadi.

“Setiap institusi tahfiz dikunjungi oleh kira-kira 10 pelajar FKE yang menunjukkan langkah awal untuk menyelamatkan diri jika berlaku insiden kebakaran. Kami tunjukkan di mana mereka harus keluar dan berkumpul selain turut mengajar mereka melakukan pertolongan cemas jika ada rakan memerlukannya ketika berlaku kecemasan,” katanya kepada NSTP ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Sijil MBR di FKE, di sini, hari ini.

Sijil penghargaan itu disampaikan wakil MBR, Siti Hajar Johor kepada Dekan FKE, Profesor Dr Mohd Nasir Taib.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman dan Pengurus Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Azwadi Mokhtar.

Nurul Munirah berkata, program itu diadakan bagi melengkapkan subjek Jurutera dalam Masyarakat bagi pelajar semester tujuh fakulti itu.

Katanya, program latihan itu mendapat sambutan baik dalam kalangan pengurusan pusat tahfiz terbabit, malah kehadiran pegawai dan anggota bomba ke beberapa institusi berkenaan untuk memantau latihan yang dijalankan juga amat dihargai.

“Ini kali pertama FKE bekerjasama dengan pusat tahfiz untuk melakukan aktiviti keselamatan seperti ini dan ia wajar diteruskan di lokasi lain seperti rumah orang tua dan anak-anak yatim. Kita tidak boleh memandang ringan isu keselamatan di asrama terutama selepas berlaku tragedi kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, yang mengorbankan 21 pelajar serta dua guru, September tahun lalu,” katanya.

 

Oleh: Norzamira Che Noh
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/11/500699/fke-uitm-latih-1066-pelajar-tahfiz-selamatkan-diri

0
0