Kelab RAGENDA UiTM Rembau bantu bersihkan pantai tumpuan pelancong

MAHASISWA dari Kelab Rembau Arts Generational Delegates (RAGENDA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau bergambar selepas program bergotong-royong bagi membersihkan kawasan persisiran pantai kawasan Pantai Pengkalan Balak, Melaka baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

19 Nov. – Pembangunan modal insan dalam kalangan mahasiswa tidak hanya terletak pada prestasi akademik malah tahap kesedaran sivik dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Program yang dinamakan “Let’s Clean for a Greener Environment” merupakan program khidmat masyarakat yang pertama dianjurkan Kelab Rembau Arts Generational Delegates (RAGENDA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau yang memberi fokus untuk komuniti dan alam sekitar di kawasan Pantai Pengkalan Balak, Melaka.

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media merangkap penasihat kelab, Muhammad Azril Izuan Ramlan, program itu merupakan salah satu usaha UiTM Kampus Rembau bagi membantu memelihara alam sekitar dengan membersihkan kawasan pesisiran pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

Mahasiswa bertungkus-lumus bergotong-royong bagi membersihkan kawasan persisiran pantai Pengkalan Balak, Melaka baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

“Program ini merupakan projek sulung seumpamanya anjuran kelab ini yang turut diharapkan dapat membuka mata masyarakat terutamanya pelancong tentang kepentingan hubungan manusia dengan alam yang perlu dijaga. Program ini juga turut bertujuan menyemai semangat kerjasama dalam pasukan kepada para peserta selain kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar,” ujarnya kepada Utusan Online.

Sementara itu, presiden kelab RAGENDA, Muhammad Afdhal Mohamad Thuairi berkata, semua aktiviti dijalankan seharian dalam bentuk berkumpulan bagi membersihkan kawasan pantai Pengkalan Balak.

“Saya berharap agar program sebegini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang dan sebagai seorang pelajar, saya merasakan ini merupakan tanggungjawab kita bersama untuk menjaga alam sekitar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Mahasiswa bertungkus-lumus bergotong-royong bagi membersihkan kawasan persisiran pantai Pengkalan Balak, Melaka baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kelab-ragenda-uitm-rembau-bantu-bersihkan-pantai-tumpuan-pelancong-1.790311#ixzz5XHoFtuTM
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0