Alumni UiTM – Farah Syahidah Norja’i : Berkat terokai perniagaan taufu

Farah Syahidah Norja’i mengendalikan mesin membungkus tauhu telur atau taufu.

JOHOR BAHRU 14 Nov. – Menyedari kurangnya pengusaha Muslim menjalankan perniagaan tahu telur atau taufu, Farah Syahidah Norja’i bertekad menceburi bidang perusahaan makanan itu.

Graduan Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mula menceburi perniagaan menjual tofu pada 2015 selepas menye­dari potensi dan permintaan tinggi makanan tersebut yang banyak dikeluarkan pengusaha bukan Islam.

Farah Syahidah, 25, mula belajar membuat taufu daripada bapanya, Norja’i Amin, 59, yang mendapat kemahiran menghasilkannya daripada rakannya yang juga merupakan saudara baharu.

Norjaé Amin melihat tahu telur atau tofu yang telah siap dibungkus di Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi, Johor.

“Saya bertekad mengusahakan taufu agar pengguna khusus­nya yang beragama Islam boleh mendapatkan produk yang bukan sahaja setaraf keluaran bukan bumiputera malah juga terjamin kebersihan dan status halalnya. Alhamdulilah taufu keluaran syarikat saya, Aminah Food Industry ini semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pengguna termasuk yang bukan beragama Islam,” katanya ditemui di kedainya di Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi, di sini baru-baru ini.

Menceritakan lebih lanjut, Farah Syahidah berkata, perniagaannya mula diusahakan secara kecil-kecilan di rumah dengan menghasilkan 180 batang tofu sehari.

Bukan itu sahaja, anak mudah berjiwa kental ini turut memasarkan produknya ke restoran-restoran, gerai makan serta kenalan selain kerap mengadakan promosi di merata tempat termasuk pasar malam, pesta jualan dan pasar tani.

“Dalam tempoh dua tahun melakukan promosi secara agresif dan ramai mengetahui produk taufu keluaran pengusahan Muslim ini, akhirnya pada awal tahun lalu produk saya ini semakin mendapat permintaan tinggi. Berikutan itu pada awal tahun ini, saya membuka kedai di Pusat Perdagangan Kempas dan kini mampu menghasilkan 500 hingga 800 batang taufu sehari. Jumlah itu boleh ditingkatkan hingga 1,500 batang sehari bergantung dengan tempahan,” ujarnya.

Tauhu telur atau taufu keluaran Aminah Food Industry di Pusat Perdagangan Kempas, Tampoi, Johor.

Beliau yang turut mendapat bimbingan ibunya, Aminah Othman, 59, memberitahu, bagi mengusahakan tofu yang ber­kualiti biasanya menggunakan telur ayam jenis terbaik.

“Berikutan perkembangan yang memberangsangkan produk kami kini menembusi pengusaha katering terkemuka di bandar raya ini, restoran-restoran yang mengutamakan produk halal, 10 kedai runcit dan juga pengusaha kecil makanan. Sejujurnya kami yakin permintaan produk kami di bandar raya ini akan terus meningkat, mereka ada kuasa beli dan ditambah kehadiran warga Singapura yang mahukan produk halal,” katanya yang turut dibantu Muhammad Rafiq Ishak, 25, selaku Pegawai Pemasaran.

 

Oleh: Maznah Mohd. Arsad
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/berkat-terokai-perniagaan-taufu-1.787520#ixzz5XFxWeO00
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0