KaryaONE iktiraf pelajar FiTA di pentas antarabangsa

Dekan FiTA, Datuk Profesor Dr. Abdul Razak Mohaideen

Penubuhan Fakulti Filem, Teater dan Animasi yang lebih dikenali sebagai FiTA di Universiti Teknologi Mara (UiTM) 20 tahun lalu ternyata membuka peluang kepada anak-anak muda yang berbakat besar dalam bidang seni kreatif seperti perfileman, teater dan animasi untuk menghasilkan karya-karya seni yang bermutu tinggi. Saban tahun, fakulti tersebut menghasilkan graduan yang hebat dalam industri perfileman dan ada antara mereka yang berjaya merangkul anugerah berprestij sehingga ke peringkat antarabangsa. Minggu KaryaONE yang menjadi acara tahunan fakulti tersebut menjadi antara acara yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat karya seni untuk melihat sendiri karya yang dihasilkan pelajar FiTA di UiTM. Bercerita lanjut tentang program KaryaONE, wartawan Kosmo! AhadZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Dekan fakulti FiTA, Datuk Profesor Dr. Abdul Razak Mohaideen di pejabat beliau yang terletak di UiTM kampus Puncak Perdana, Shah Alam baru-baru ini.

minggu KaryaONE merupakan platform terbaik buat pelajar fakulti FiTA untuk mempamerkan bakat terpendam dalam penghasilan filem pendek yang berkualiti.-Abdul Razak

Kosmo! AHAD: Boleh Datuk ulas sedikit tentang program tahunan anjuran FiTA iaitu KaryaONE yang merupakan salah satu acara yang mempamerkan bakat seni pelajar FiTA?

Datuk Prof. Dr. Abdul Razak Mohaideen: Minggu KaryaOne ialah sebuah program tahunan yang diwujudkan oleh FiTA sejak tahun 2010 dan ia merupakan sebuah platform yang mempamerkan bakat dan hasil seni kreatif para pelajar kepada umum. KaryaONE merupakan gabungan kreatif antara perkataan karya, karyawan dan one yang kemudiannya digabungkan. Karya bermaksud hasil kesenian atau ciptaan, manakala karyawan pula bermaksud individu yang banyak menghasilkan karya. Perkataan one pula merujuk kepada nombor satu yang menjadi simbolik kepada hasil yang terbaik. Oleh itu, KaryaONE merupakan sebuah acara yang meraikan karya terbaik dihasilkan oleh para pengkarya iaitu pelajar-pelajar FiTA. Bercerita tentang konsepnya, ia merupakan sebuah acara berbentuk ilmiah dan artrepreneur yang melibatkan pelajar, pensyarah dan juga seluruh warga kerja FiTA. Minggu KaryaONE 21 akan berlangsung pada 4 hingga 7 Disember depan dan ia melibatkan malam promosi filem, wacana bersama pemimpin, wacana seni penulisan, wacana seni pasca siswazah, animation kingdom dan juga yang paling istimewa ialah sebuah acara tarian yang buat pertama kalinya dipertontonkan kepada umum bertajuk Teguh Rasa. KaryaONE mengiktiraf sumbangan karya pelajar dalam bidang animasi, penulisan kreatif, filem, pengurusan industri kreatif dan teater serta pengiktirafan itu memacu dasar transformasi UiTM ke arah membudayakan kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

Apa istimewanya program KaryaONE ini kepada warga FiTA?

Menerusi penganjuran minggu KaryaONE ini, orang ramai boleh melihat sendiri bakat dan kebolehan pelajar-pelajar serta seluruh tenaga kerja FiTA. Menariknya, program ini dikendalikan secara total oleh pelajar-pelajar FiTA sendiri sebagai persediaan sebelum mereka menempuh alam pekerjaan sebagai penggiat seni kreatif kelak. Mereka akan dinilai melalui beberapa kursus yang berkaitan dengan tugasan yang dilaksanakan. Objektif penubuhan KaryaONE ialah menjadikan FiTA sebagai sebuah fakulti yang cemerlang dalam prestasi akademik dan juga menjana pendapatan sendiri menerusi program-program yang dijalankan. Minggu KaryaONE berlangsung selama empat hari dan pengisiannya penuh dengan aktiviti menarik buat pengunjung. Bagi Minggu KaryaONE ke-21 yang akan dianjurkan bermula 4 hingga 7 Disember depan, acara tarian yang dinamakan Teguh Rasa akan dipentaskan buat pertama kalinya untuk KaryaONE kali ini sebagai pengenalan kepada program baharu yang akan diperkenalkan fakulti FiTA iaitu Diploma Teknologi Tari dan Drama.

Apakah antara kategori-kategori pencalonan FiTA bagi anugerah KaryaONE?

Kategori yang dipertandingkan dalam KaryaONE terbahagi kepada lima program yang ditawarkan di FiTA iaitu Program Animasi, Program Penulisan, Program Teater, Program Pengurusan Industri Kreatif dan Program Skrin. Terdapat 31 anugerah yang dipertandingkan dalam KaryaONE, antaranya termasuklah Anugerah Filem Animasi Pendek Terbaik, Anugerah Puisi dan Lirik Terbaik, Anugerah Teater Terbaik, Anugerah Pengurus Pentas Terbaik dan juga Anugerah Dokumentari Terbaik.

Menurut Datuk, apakah kriteria yang diperlukan untuk menobatkan sesebuah karya pelajar itu sebagai filem pendek terbaik?

Sebenarnya, tiada kriteria spesifik yang ditentukan bagi menobatkan sesebuah karya tersebut sebagai karya terbaik. Begitu pun, untuk KaryaONE, kami menetapkan filem pendek yang dihasilkan dan dipertandingkan haruslah berdurasi kurang daripada 10 minit. Selain itu, kebanyakan filem yang dipertandingkan juga perlulah mematuhi tema yang ditetapkan sebagai contoh, tema kemerdekaan. Karya yang dipertandingkan perlu memiliki tema yang sudah ditetapkan bagi membolehkan ia dinilai oleh pihak juri. Setiap karya yang dipertandingkan akan dinilai oleh juri-juri yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah fakulti yang berpengalaman dalam industri seni kreatif.

PENSYARAH fakulti FiTA yang berjaya merangkul anugerah Pertandingan Rekacipta Educational, Innovation, Creativity and Design (EICD 2018)

Mungkin Datuk boleh jelaskan serba sedikit tentang tahap kebolehpasaran graduan dalam bidang seni kreatif di FiTA ketika ini?

Ketika ini, 85 peratus graduan program-program di FiTA memperoleh peluang pekerjaan sejurus selepas mereka menamatkan pengajian. Hal ini kerana program-program yang ditawarkan memberikan pendedahan sebenar kepada pelajar tentang dunia pekerjaan dalam industri seni kreatif dan ini menjadikan mereka lebih bersedia. Baki graduan yang lain pula ada yang terlibat dalam perniagaan sendiri, namun pada masa yang sama masih terlibat secara belakang tabir dalam bidang seni kreatif seperti menjadi penulis skrip bebas.

Jika dahulu, graduan program seni kreatif ini sering dikaitkan dengan peluang pekerjaan yang terhad jika dibandingkan dengan program-program pengajian dalam bidang lain. Bagaimana Datuk melihat isu tersebut dan bagaimana pula penerimaan orang ramai terhadap graduan perfileman kini?

Jika dilihat dalam tempoh 10 atau 20 tahun lalu, saya akui ada ibu bapa yang agak ragu-ragu dengan masa depan anak-anak mereka sekiranya mengambil jurusan berkaitan seni kreatif seperti teater, tarian dan animasi. Begitu pun, persepsi tersebut sudah semakin berubah dan ketika ini, UiTM menerima banyak permohonan daripada pelajar-pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni kreatif di FiTA sama ada bagi peringkat diploma, sarjana muda dan juga sarjana. Proses pembelajaran di FiTA memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengarah filem dan terlibat secara langsung dengan dunia perfileman, menjadikan mereka sebagai aset industri perfileman di negara ini. Penganjuran program seperti Minggu KaryaONE misalnya membuktikan bahawa graduan kursus seni kreatif ini berbakat besar dan menerima pengiktirafan yang cukup membanggakan. Oleh itu, persepsi bahawa graduan bidang ini tidak berkualiti serta tiada peluang pekerjaan sudah tidak lagi wujud.

Apakah harapan dan nasihat Datuk kepada graduan di luar sana?

Warga kerja FiTA seperti pensyarah akan sentiasa menggalakkan pelajar untuk menghasilkan filem-filem pendek yang berkualiti dan dihantar untuk dipertandingkan sama ada di festival filem negara atau pun mana-mana festival filem di dunia.

 

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/karyaone-iktiraf-pelajar-fita-di-pentas-antarabangsa-1.789289

0
0