Alumni FiTA akan dipilih sebagai ikon

Nor’ Anira Haris. – Foto Roslin Mat Tahir

SHAH ALAM: Seorang alumni Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan dipilih sebagai ikon sempena Minggu Anugerah Karyaone 21, awal Disember depan.

Pengarah program tahunan itu, Nor’ Anira Haris, berkata alumni berkenaan dipilih berdasarkan pencapaian yang dikecapi selepas bergelar graduan FiTA.

Katanya, pihak FiTA sudah mengenal pasti beberapa individu namun keputusan akhir penerima ikon berkenaan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan pengurusan tertinggi FiTA.

“Pada sambutan sebelum ini, kita beri anugerah ikon ini kepada 20 alumni yang dilihat memberi sumbangan kepada industri sempena sambutan 20 tahun fakulti ini. Semua ikon berkenaan dipilih mengikut bidang tetapi kali ini, FiTA hanya akan pilih seorang individu sebagai ikon industri yang dilihat banyak memberi sumbangan kepada industri dan fakulti,” katanya ketika ditemui NSTP, di sini.

Mengulas lanjut, Nor’ Anira berkata, untuk sambutan kali ini yang akan diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM, FiTA mengetengahkan konsep meraikan industri selaras kehendak pelajar FiTA.

Katanya, konsep berkenaan dipilih pelajar berikutan program berkenaan dianjurkan bagi meraikan pelajar selain menghargai sumbangan mereka.

Beliau berkata, selain pemilihan ikon terbabit pada Malam Anugerah Karyaone sebagai acara kemuncak, program terbabit turut melangsungkan beberapa acara lain, antaranya Wacana Seni, Wilayah Aksara dan Animation Kingdom.

“Kita juga akan adakan mini karnival serta ‘food truck’ bagi menarik kehadiran semua pelajar UiTM selain menjemput beberapa artis membuat persembahan pada malam kemuncak itu. Pengarah terkenal Erma Fatima dan Ahmad Idham dijangka hadir bagi memberi sokongan kepada FiTA,” katanya.

Nor’ Anira berkata, sempena Minggu Karyaone itu, semua pelajar FiTA dari semester satu hingga enam akan menghasilkan produk seni mereka sebelum ia dinilai oleh pensyarah.

Minggu berkenaan juga diadakan sebagai platform untuk pelajar lebih mengenali industri kreatif secara fizikal dan tidak hanya menimba ilmu melalui sesi pembelajaran dalam kelas semata-mata.

Oleh: Norrasyidah Arshad
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/11/497709/alumni-fita-akan-dipilih-sebagai-ikon

0
0