Alumni UiTM – Prof. Datuk Tajuddin Ismail : Abadikan diri dalam bidang seni sejak lebih 50 tahun lalu

Prof. Datuk Tajuddin Ismail. Foto: Kosmo

Senyuman jelas terpancar pada raut wajah lelaki yang mengenakan baju berwarna biru gelap sebaik melangkah masuk ke galeri seni miliknya, TJ Fine Art yang terletak di Centrio Pantai Hillpark, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi Prof. Datuk Tajuddin Ismail, galeri itulah adalah tempat untuk beliau mengabadikan dirinya dalam bidang seni yang telah diceburi sejak lebih 50 tahun lalu. Jelas anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, minatnya terhadap bidang seni bermula sejak kecil lagi.

“Sewaktu kecil saya akan mengubah bahan-bahan terbuang untuk dijadikan permainan kerana pada waktu itu kami tak mampu untuk membeli mainan. Selain itu, saya juga gemar melukis. Medium yang digunakan untuk berkarya pada ketika itu adalah arang dan juga kepingan papan terbuang dan terbiar. Selain itu saya juga sering melukis di dinding-dinding terbiar. Ruang itulah menjadi tempat untuk saya berkarya,” jelas ayah kepada tiga cahaya mata itu.

Minat Tajuddin dalam bidang seni lukis semakin berkembang apabila beliau memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di Seremban. Sewaktu menuntut di sekolah itu, beliau melihat karya-karya seni yang dihasilkan oleh pelukis terkemuka negara, Abdul Latiff Mohidin yang merupakan seniornya.

Pada ketika itu, Abdul Latiff berada di tingkatan lima dan Tajuddin baru sahaja darjah lima dan mereka tinggal di asrama sekolah yang sama.

“Latiff Mohidin pada waktu itu merupakan antara senior yang menonjol dan hasil karya seninya banyak dipamerkan di sekolah. Sejak itu, saya semakin berminat untuk mendalami bidang seni,” katanya yang dilahirkan pada tanggal 26 Oktober 1949.

Datuk Tajuddin Ismail

Bertuah

Sebaik tamat persekolahan, Tajuddin kemudiannya memohon untuk melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM). Permohonan kali pertamanya untuk memasuki ITM tidak berjaya.

Antara tahun 1968 hingga 1969, Tajuddin bertuah kerana berpeluang mengenali dengan lebih rapat dengan Abdul Latiff dan mereka tinggal serumah. Beliau boleh tinggal serumah adalah kerana Abdul Latiff adalah teman rapat kepada kakak dan abang iparnya. Pada ketika itu, Abdul Latiff adalah merupakan antara angkatan pertama pelukis moden Malaysia.

“Ketika tinggal bersamanya saya mula menghasilkan karya-karya sendiri. Saya menggunakan bahan-bahan lukisan lebihan Abdul Latiff untuk menghasilkan karya seni saya. Pada tahun 1969, saya sekali lagi memohon untuk memasuki ITM dan permohonan saya berjaya. Saya melanjutkan pelajaran di ITM dalam bidang seni halus. Saya merasakan perlu mendapatkan pendidikan formal dalam bidang itu,” katanya.

Pada tahun 1971 ketika masih bergelar mahasiswa, Tajuddin telah berjaya melakukan pameran solo di kampusnya di ITM. Pameran pertama itu berbentuk seni instalasi.

Selepas tamat pengajian di ITM, Tajuddin kemudiannya terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun 1974 untuk melanjutkan kursus dalam bidang seni grafik di ArtCenter College of Design.

Tegasnya, ketika di Los Angeles beliau dapat pendedahan yang lebih kerana berpeluang untuk melihat karya-karya artis seni antarabangsa. Beliau berada di Los Angeles selama setahun dan sepanjang sesi pengajian Tajuddin mendapat biasiswa daripada ITM. Setelah pulang dari Los Angeles beliau kemudiannya ditawarkan untuk bekerja dengan ITM. Usaha Tajuddin untuk mendalami bidang seni tidak terhenti di situ sahaja.

Pada tahun 1979 hingga 1981, beliau ke New York, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana lanjutan dalam bidang seni bina dalaman di Pratt Institute.

Selain itu, Tajuddin juga ditawarkan biasiswa Fulbright Hays daripada Amerika Syarikat pada tahun 1986 untuk melakukan penyelidikan dalam bidang sejarah seni reka dan seni bina di Pratt Institute.

Sepanjang terlibat dalam bidang seni dalam tempoh masa lebih 50 tahun Tajuddin telah menghasilkan ratusan karya. Selain itu, dia juga sering terlibat dalam mengadakan pameran seni di dalam dan luar negara termasuklah China, Sepanyol, Jerman dan Jepun.

“Pada tahun lalu, saya telah mengadakan pameran solo di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpangkalan di New York,” katanya.

TAJUDDIN gemar melawat muzium dan galeri seni di luar negara untuk mencari idea dan ilham untuk berkarya. Foto: Kosmo

Pendiam

Dalam pada itu, isteri kepada Tajuddin iaitu Datin Khaliah Ismail, 64, menjelaskan, bidang seni adalah sebahagian daripada hidup suaminya. Jelasnya, boleh dikatakan kebanyakan masanya dihabiskan untuk melukis.

“Kebiasaannya, jika ada kelapangan, beliau akan melukis bermula seawal pagi. Beliau biasanya sudah tahu apa yang mahu dilukis kerana kajian untuk sesuatu karya telah dilakukan lebih awal. Suami saya sebenarnya seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap, tetapi apabila berbicara mengenai seni beliaulah orang yang paling banyak bercerita,” jelasnya.

Tambahnya, dia dan suaminya sering berbicara mengenai bidang seni kerana mereka mempunyai minat yang sama. Dalam pada itu, Khaliah menjelaskan, walaupun sibuk dengan lukisan, suaminya tetap mempunyai masa untuk keluarga.

“Biasanya waktu malam dan hujung minggu, beliau jarang melukis dan masa itu digunakan untuk keluarga. Jika ada kelapangan kami sekeluarga juga sering bercuti ke luar negara. Ketika di luar negara lokasi utama yang suami saya akan pergi adalah muzium dan galeri seni. Beliau akan menghabiskan masa berjam-jam di situ bagi menghayati karya-karya seni. Selain itu, beliau juga akan mencari peluang untuk berjumpa dengan pelukis-pelukis di sana untuk berbicara perkara berkaitan seni,” jelasnya.

GALERI TJ Fine Art milik Tajuddin terletak di Centrio Pantai Hillpark, Kuala Lumpur. Foto: Kosmo

Tambahnya, ketika di muzium itulah suaminya mendapat idea dan ilham untuk berkarya. Pada tahun 2004, Khaliah mengambil keputusan untuk membuka galeri seni TJ Fine Art bagi menyokong minat suaminya itu.

Setelah Tajuddin bersara sebagai pensyarah pada tahun 2002, beliau banyak menghasilkan karya-karya seni dan Khaliah merasakan mereka harus mempunyai galeri sendiri untuk mempamerkannya.

Dalam pada itu, Khaliah menjelaskan tumpuan suaminya masih pada karya-karya seni halus tetapi dalam masa sama beliau juga mempelbagaikan karya seni seperti seni grafik dan seni bina dalaman dan seni tekstil.

 

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/pesona/tajuddin-abadikan-diri-dalam-bidang-seni-sejak-lebih-50-tahun-lalu-1.779604

Sumber berkaitan (Youtube):

Datuk Tajuddin Ismail

 

0
0