Alumni UiTM – Cinta Ayuandrea Hashim : Cipta nama dalam seni lukis

Cinta Ayuandrea Hashim. Foto: Utusan Online

Tidak ramai sebenarnya pelukis wanita berbakat yang mencari pendapatan dengan mengetengahkan karya seni , kecuali mereka memang benar-benar telah bersedia, mempunyai nama, kematangan diri dan mempunyai peminat tersendiri.

Bagi Cinta Ayuandrea Hashim, minatnya dalam seni lukis sejak dari kecil akhirnya telah meletakkan dirinya mampu pergi lebih jauh untuk mengembangkan bakat seni yang ada, biarpun dalam usia yang masih muda.

Ini kerana sebaik sahaja menamatkan pengajian pada peringkat ijazah dalam jurusan Seni Halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kira-kira empat tahun lalu, dia bernasib baik dan bertuah diberi kesempatan untuk mempamerkan lukisannya di Galeri Taksu, Kuala Lumpur.

Bukan sahaja dapat mempamerkan, malah karyanya turut terjual yang menyebabkan Cinta Ayuandrea berkobar-kobar untuk meneruskan minatnya itu ke peringkat lebih tinggi. Wanita ini juga pernah mempamerkan bakatnya di pameran-pameran terbuka ketika masih menuntut di UiTM.

“Menjadikan kerjaya sebagai pelukis sepenuh masa memerlukan jiwa yang kental kerana bukan semua orang dapat bertahan dengan persaingan dan menjana pendapatan menerusinya. Ramai juga yang beralih ke bidang lain kerana mahukan pendapatan tetap setiap bulan. Tetapi, itu bukan perkara utama bagi seorang yang benar-benar berjiwa pelukis kerana kepuasan dalam setiap karya yang dihasilkan adalah segalanya pada diri. Itu sebab seorang pelukis perlu mempunyai semangat dan ikhlas dengan setiap apa yang dilakukan,” jelas isteri kepada pelukis, Najib Ahmad Bamadhaj ini.

Foto: Utusan Online

Nama Cinta Ayuandrea merupakan signatur bagi setiap lukisan yang dihasilkan. Antara identiti lukisannya, ialah campuran media di atas kanvas dengan menggabungkan antara imej figura dan persembahan flora serta fauna asli melalui garisan halus yang teliti.

Dia berkata, setiap pelukis mesti ada identiti tersendiri agar peminat atau mereka yang melihat lukisan mengetahui lakaran yang dibuat itu dihasilkan oleh pelukis berkenaan.

Menurut Cinta Ayuandrea, lazimnya, peminat hasil lukisan seseorang itu akan membeli tidak kira berapa harganya, sebaliknya bergantung kepada siapakah ‘nama’ si pembuatnya.

“Lagi ternama pelukis itu, lagi mahal nilai lukisan yang ditawarkan kepada peminatnya. Harga lukisan dinilai daripada berapa ratus ke berapa ribu ringgit kaki persegi lukisan berkenaan. Contohnya, jika pelukis muda yang baru berjinak-jinak dalam penghasilan karya, biarpun bagaimana cantik lukisan itu ia hanya akan ditafsirkan sebanyak RM100 bagi satu kaki persegi, berbanding dengan pelukis ternama yang boleh mencecah sehingga RM10,000 bagi satu kaki persegi. Pelukis ternama juga boleh membuat pameran solo, ” jelas Cinta Ayuandrea yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Tentang ilham untuk melukis, Cinta Ayuandrea menjelaskan, dia boleh mendapat ilham di mana-mana sahaja. Sering kali ketika berada di taman, atau rimbunan pepohon, jungle tracking, dia mendapat idea untuk lukisannya.

Cinta Ayuandrea Hashim tekun berkarya bagi memenuhi minatnya dalam dunia lukisan. Foto: Utusan Online

Wanita ini mengakui lebih selesa sekiranya melakar lukisan yang dia selesa untuk berbuat demikian dan bukan sebaliknya. Baginya, keluasan tempat dia melukis juga boleh mendominasi keadaan dan ilham.

Selama empat tahun berkarya, dia telah menghasilkan lebih daripada 40 buah lukisan, namun tidak semua lukisan berkenaan dijual kerana ada yang disimpan untuk tujuan eksperimen.

Dalam tempoh itu, banyak kali juga dia terlibat dalam pameran lukisan yang berstatus kumpulan. Dalam setahun dia akan menyertai sebanyak lima atau enam pameran lukisan.

“Dan saya bercita-cita ingin mencipta pameran solo saya sendiri satu hari nanti. Bagi mereka yang melukis di ruang yang sempit, ilhamnya akan terhad, sebaliknya jika melukis di tempat yang lapang dan luas pasti didatangi ilham yang tidak terhad,” katanya ketika ditemui di studio lukisannya, Studio Paip di Dataran Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jual lukisan untuk kebajikan

Sejak dari 2014, Cinta Ayuandrea telah menyertai pameran lukisan di bawah Yayasan AIDS Malaysia, iaitu ArtAIDS, termasuk yang terbaharu pameran ArtAIDS 18. Dia berkata, hatinya berasa senang kerana dapat sama membantu insan-insan yang hidup dalam HIV/AIDS dengan mendermakan sebahagian daripada hasil jualan lukisannya.

ArtAIDS telah dianjurkan sejak 2014, yang mana setiap lukisan yang terjual akan didermakan kepada yasayan berkenaan.

Pada tahun ini, sebanyak 44 lukisan telah dipamerkan dan sebahagian daripadanya telah terjual dengan jumlah melebihi RM300,000. Cara mendapatkan dana yayasan berkenaan menerusi pameran lukisan seperti ini telah diilhamkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan AIDS Malaysia, Ahmad Zaki Anwar.

 

Oleh: Rosmah Dain
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/cipta-nama-dalam-seni-lukis-1.779307#ixzz5VgU6TjyC
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0