Mahasiswa UiTM Raub kongsi kasih

SEBAHAGIAN mahasiswa UiTM Kampus Raub bersama kanak-kanak istimewa di Pusat Didikan Khas Bentong dalam program Sehari Bersama Insan Istimewa di Bentong, Pahang, baru-baru ini. UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

RAUB 30 Okt. – Seramai 36 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub menyertai program amal Sehari Bersama Insan Istimewa yang diadakan di Pusat Didikan Khas (PDK) dan Rumah Orang Tua di Bentong, dekat sini baru-baru ini.

Program melibatkan penuntut Pengurusan dan Perniagaan diketuai Pensyarah Perhubungan Awam, Ahmad Humaam Shukor itu bertujuan membolehkan mereka mendekati dan menyelami nasib golongan kurang bernasib baik.

Pengarah program, Aidil Sha­zeril berkata, program itu bermanfaat dan memberi pelbagai pendedahan kepada mahasiswa sekali gus sebagai latihan praktikal dalam subjek perhubungan awam yang dipelajari mereka.

“Saya dan rakan-rakan berbesar hati kerana diberi peluang oleh UiTM untuk melaksanakan program ini yang mana kami berpeluang mencurahkan kasih dan memberikan sepenuh perhatian kami kepada insan istimewa. Banyak aktiviti yang dapat kami lakukan di pusat didikan khas (PDK) dan rumah orang tua. Melihat mereka tersenyum dan ketawa riang membuatkan kami berasa bangga serta tersentuh,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Aidil, program itu mengajar cara yang betul dalam menguruskan insan istimewa dan meningkatkan kesabaran serta kasih sayang kepada golongan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Humaam berkata, program tersebut dapat memperkenalkan lagi UiTM Kampus Raub kepada komuniti setempat dan memastikan kewujudannya memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Oleh: Abdul Rashid Abdul Rahman
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/mahasiswa-uitm-raub-kongsi-kasih-1.778285#ixzz5VSqYWqOX
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0