FAS jalin kerjasama dengan UiTM

Johan Kamal Hamidon

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bakal menjalin kerjasama dengan Unit Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memaksimumkan penggunaan sains sukan ke atas pasukan itu bermula musim depan.

Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon yang mengakui kemajuan sains sukan adalah satu elemen penting dalam bola sepak bagi membantu meningkatkan prestasi pemain sekali gus membentuk kekuatan sesebuah pasukan.

Katanya, cadangan untuk bekerjasama bersama UiTM itu adalah antara cadangan yang dilontarkan pada bengkel transformasi FAS yang berlangsung dua bulan lalu.

“Selari dengan permodenan industri bola sepak, penggunaan sains sukan turut membawa idea yang dapat memudahkan pemain mengimbangi kecergasan dan meningkatkan prestasi mereka dengan lebih cepat dan teratur. Mengakui kepentingan ini, FAS mengadakan perbincangan bersama Unit Sains Sukan, UiTM untuk mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan penyertaan kedua-dua pihak. Ia membabitkan kerjasama dalam beberapa perkara seperti bidang sains sukan, pemakanan dan nutrisi, analisis prestasi dan sokongan akademik untuk pegawai dan pemain FAS. Kerjasama ini juga dicadangkan untuk disediakan bukan sahaja kepada skuad utama tetapi untuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Johan, langkah itu antara salah satu langkah pembaharuan dan usaha bagi mengembalikan kegemilangan ‘Red Giants’ sebagai satu pasukan yang disegani dan digeruni.

“Kerjasama ini dijangka dapat memberi impak positif buat ramai pihak khususnya pelajar jurusan sains sukan UiTM yang akan berpeluang untuk bekerjasama dengan pemain profesional bagi meningkatkan mutu akademik sains sukan. Bagi pengurusan pasukan pula, ia akan dapat mengetengahkan elemen-elemen sains sukan dan teknologi yang terbaru dengan lebih kos efektif ke arah memartabatkan lagi pasukan ini,” katanya.

 

Oleh: Syafiq Aznan
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/10/489427/fas-jalin-kerjasama-dengan-uitm

0
0