SSM kena guna konsep bermain dan belajar – Abdullah

Prof. Dato’ Dr Abdullah Mohamad Said

KUALA LUMPUR: Timbalan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said percaya Sekolah Sukan Malaysia (SSM) perlu menggunakan konsep ‘play and study‘ (bermain dan belajar) jika mahu membantu atlet berjaya dalam bidang sukan dan akademik.

Katanya, konsep yang memberi keutamaan kepada atlet berlatih dan kemudian belajar sudah lama dipraktikkan di UiTM yang kini menawarkan pelbagai pengajian buat atlet yang masih aktif.

“Sebenarnya konsep yang betul adalah bermain dan belajar, bukan belajar dan bermain. Konsep ini amat sesuai buat atlet berprestasi tinggi khususnya yang memerlukan lebih banyak latihan dan pertandingan. Mereka ini perlu diberi lebih ruang kerana keutamaan mereka adalah bermain dan kita menyokong pembelajaran mereka. Cara menguruskan pembelajaran mereka penting, kalau salah cara pengurusan, ini yang menyebabkan atlet gagal. Kerana itu di UiTM kita guna sistem Teknologi Maklumat dalam pembelajaran di mana atlet boleh belajar, mengikuti kuliah, mendapatkan nota dengan muat turun di Internet walaupun mereka berlatih atau pertandingan di luar negara,” kata Abdullah kepada Sukan NSTP hari ini.

Isu kegagalan sebilangan bekas pelajar SSM menjadi perbualan hangat susulan pendedahan Sukan NSTP baru-baru ini. Ada bekas pelajar yang gagal dalam mengejar cita-cita untuk bergelar atlet dan lebih memeritkan turut tercicir dalam pelajaran.

Bagaimanapun Abdullah berkata, mana-mana bekas pelajar yang tidak mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebenarnya masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian di universiti.

“Bagi bekas pelajar, atlet yang tidak mempunyai keputusan baik dalam SPM mereka boleh mengikuti pengajian Pra Diploma di UiTM selama satu, dua semester sebelum mengambil Diploma di mana UiTM menawarkan pelbagai pengajian untuk mereka. Atlet yang sudah lama meninggalkan persekolahan dan tidak memiliki keputusan baik juga masih layak memohon kerana kita juga mengambil kira pengalaman mereka dalam pengambilan menerusi APEL, jadi tak ada masalah,” jelasnya.

Terbaru, UiTM menawarkan program Diploma Eksekutif Pengajian Bola Sepak oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi bermula pada Mac 2019 dengan tempoh pengajian dua setengah tahun hingga lima tahun.

 

Oleh Aziman Rosdi
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2018/10/488184/ssm-kena-guna-konsep-bermain-dan-belajar-abdullah

 

0
0