UiTM perkenal Diploma Eksekutif Bola Sepak

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (dua, kanan) bersama Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said (dua, kiri) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Diploma Eksekutif Pengajian Bola Sepak dan Majlis Penyerahan Bendera Jalur Gemilang kepada pasukan UiTM di Wisma FAM hari ini. – Foto BERNAMA

KELANA JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkenalkan Program Diploma Eksekutif Pengajian Bola Sepak bagi memberi peluang kepada penggiat sukan berkenaan mengikuti pendidikan bertaraf profesional.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata pihaknya menyasarkan 30 penuntut ambilan pertama bakal mengikuti program yang dijadualkan bermula Mac tahun depan.

Beliau berkata, program kendalian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi itu menawarkan tempoh pengajian selama dua setengah hingga lima tahun membabitkan lima hingga 10 semester, bergantung kepada mod pengajian penuh atau separuh masa.

“Selain terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), program ini turut ditawarkan kepada individu atau profesional yang terbabit dalam arena bola sepak di negara ini. Selepas tamat program diploma, mereka berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda Sains Sukan atau pengajian bola sepak yang bakal diperkenalkan di UiTM dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya pada majlis pelancaran program itu.

HAMIDIN (empat dari kanan) dan Abdullah Mohamad Said (lima kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Pasukan UiTM, Mohd Aliffikhwan Mazlan (tiga kanan) yang bakal beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Asian University Sport Federation di Jinjiang, China bulan depan. -Foto Nurul Shafina Jemenon

Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melancarkan program pengajian terbabit di Wisma FAM, di sini.

Pada majlis sama, Hamidin turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada pasukan bola sepak UiTM yang bakal beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Asian University Sport Federation di Jinjiang, China, akhir bulan ini.

Sementara itu, Hamidin berkata, FAM menyambut baik usaha murni itu kerana bukan saja membuka peluang kepada penggiat bola sepak untuk berjaya dalam bidang sukan, malah mempunyai pencapaian akademik membanggakan.

“FAM berharap program pengajian ini dapat melahirkan lebih ramai pemain dan penggiat sukan bola sepak yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, selain berupaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dalam membangunkan arena bola sepak di Malaysia,” katanya.

INFO

– Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan syarahan, latihan praktikal, perbincangan berkumpulan dan aplikasi blended learning iaitu proses PdP dilaksanakan menerusi atas talian.

– Graduan program ini dijangka memenuhi permintaan kerjaya di sektor persatuan, kelab, akademi bola sepak sebagai pengurus, pegawai pentadbiran, pemasaran, promosi, media dan lain-lain.

 

Oleh: Maria Uffa Zulkafeli
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/10/487624/uitm-perkenal-diploma-eksekutif-bola-sepak

0
0