Alumni UiTM – Azrul Izwan Ibrahim : Biak, jual baka kucing import

Bermula sebagai peminat kucing, Azrul Izwan Ibrahim kini membiak dan menjual kucing baka British Short Hair.

Sebenarnya selain pekerjaan yang memberikan pendapatan tetap, banyak lagi kerja sambilan di rumah yang boleh menjana duit. Contohnya, sebagai penterjemah, menjahit pakaian, mengeluarkan produk makanan, membuat produk penjagaan diri berasaskan bahan-bahan semula jadi dan membuat aksesori.

Pekerjaan sambilan yang dilakukan sebagai hobi ini juga menjanjikan pulangan lumayan dan boleh digunakan bagi membayar bil bulanan. Beruntunglah bagi mereka yang memiliki kemahiran atau kepandaian yang boleh digunakan bagi mencari pendapatan. Pokok pangkalnya rajin dan jangan berputus asa.

Mungkin apa yang dilakukan oleh Azrul Izwan Ibrahim, 29, ini agak berbeza dan tidak ramai yang melakukannya, namun melalui hobi ini dia dapat mengembangkan lagi perniagaannya yang lain.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik ini, minat untuk menyayangi kucing telah dipupuk oleh kakaknya yang membela beberapa ekor kucing. Azrul yang ketika itu baru berumur sembilan tahun, terikut-ikut membela seekor kucing jalanan berwarna putih yang sengaja dibiarkan bebas di luar rumah. Suatu hari kucing tersebut mati kerana keracunan dan dia cukup sedih dengan kejadian itu.

Semasa melanjutkan pengajian ke universiti, sekali lagi dia bertemu dengan seorang rakan yang juga berminat dengan kucing. Rakannya itu telah memperkenal tentang baka-baka kucing dunia.

“Saya sangat meminati kucing pedigri British Short Hair kerana karekter, jenis dan bulunya. Kucing jenis ini berasal dari England dan merupakan kucing jalanan. Mengikut sejarah yang saya baca, kucing ini sudah wujud sejak zaman Firaun dan kemudiannya telah dibawa ke England. Ia merupakan salah satu kucing yang paling cerdik di dunia dan Firaun memeliharanya bagi menangkap tikus. Bulunya padat dan tebal, merupakan antara kucing kedua terbesar di dunia. Ia dikategorikan dalam kucing baka besar yang tegap dan kompak.”

“Mulanya saya beli seekor sahaja daripada seorang pembiak kucing kerana niat asal hanya nak jadikan haiwan peliharaan. Bagaimanapun, saya jadi terlalu obses dengan kucing jenis ini sehingga sanggup terbang ke Paris dan London bagi mencari lagi,” kata anak muda lulusan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik dan Multimedia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini.

Oleh kerana minatnya terhadap kucing British Short Hair ini semakin mendalam, anak kelahiran Jitra, Kedah, ini banyak membuat kajian dan sanggup mengimport seekor kucing jantan dari Jerman pada harga Euro 1,800 (RM8,560) kerana dia sudah pun mempunyai seekor kucing betina.

Ketika itu, dia tidak pernah terfikir hendak ‘mengahwinkan’ kucing-kucing tersebut bagi mendapatkan anak dan kemudian dijual.

Dia, yang kebetulan mempunyai hobi mengambil gambar, telah memuat naik gambar kucing-kucing ke Facebook. Ramai kawan dan peminat kucing bertanya serta menyuarakan untuk membeli anak-anak kucing tersebut.

“Waktu itu, saya masih bimbang untuk menjualnya. Saya kemudian menyertai Kelab Kucing Malaysia dan dilatih bagaimana hendak membiak kucing. Daripada kucing yang saya kahwinkan, saya mendapat empat ekor anak kucing.

“Saya siarkan di Facebook dan mencari bakal pemilik anak kucing ini yang benar-benar mampu menjaga.

“Seekor berharga RM5,000 dan saya jual dua ekor. Daripada duit tersebut, saya beli lagi seekor supaya dapat dikahwinkan dengan kucing lain. Sehingga kini, saya sudah menjual sebanyak 12 ekor kucing British Short Hair dan sudah memperoleh sebanyak RM60,000. Di rumah pula, saya memiliki sebanyak 18 ekor kucing,” katanya yang berkongsi menjaga dan membiakkan kucing bersama rakan, Dr. Mohd Safwan Che Jamil, 30.

Melalui pendapatan daripada hobinya itu, Azrul memulakan perniagaan lain seperti kosmetik dan berkongsi bisnes butik pakaian Cindai bersama kakaknya. Namun, sekarang dia sudah memperlahan hobinya itu dan sangat berhati-hati dengan pembeli kucing, kerana tidak mahu haiwan tersebut dianiaya.

Marah sikap manusia aniaya kucing

Baru-baru ini tular mengenai tiga lelaki yang membunuh seekor kucing bunting dengan memasukkan haiwan tersebut ke dalam mesin pengering pakaian.

Azrul berpendapat, perbuatan itu sungguh tidak berperikemanusiaan, tidak waras, kejam dan pelakunya harus dihukum berat. Dia juga, pernah memarahi kanak-kanak yang menyepak kucing semasa makan bersama keluarga di warung.

Dia juga pernah melihat video penganiayaan kucing yang mana kucing ditembak di kepala, pam angin ke dalam mulut kucing hingga kucing tersebut meletup, telinga kucing dipotong dan petrol dituang ke atas kucing yang kemudian dibakar.

Jika anda berminat hendak membeli kucing Azrul boleh melayari Facebook Malaya Marquess Cattery.

 

Oleh : Meran Abu Bakar
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/rona/biak-jual-baka-kucing-import-1.760458#ixzz5T2baIfeF
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0