Idea kreatif terokai dunia sains

Ekspo Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk merupakan acara tahunan yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

IIDEX 2018 memartabatkan idea luar biasa pengamal sains hasilkan produk yang membawa impak maksimum kepada masyarakat dan negara. DEWAN Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor begitu meriah dengan kehadiran hampir 3,000 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Ruangan pameran sains yang hampir memenuhi segenap ruang dewan itu dilewati satu persatu dengan penuh rasa teruja. Pelajar sekolah dan mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk meneroka dunia sains menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan. Tidak kurang juga orang ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk melihat sendiri kecanggihan produk baharu yang direka para peserta pertandingan.

Mahasiswa berpeluang menambah ilmu pengetahuan mereka dalam bidang sains dengan perkongsian ilmu daripada para peserta.

Setiap ruang mempunyai peminat yang tersendiri, sekali gus menjadikan dewan tersebut sebagai medan percambahan ilmu dengan perkongsian pelbagai perkara baharu yang tidak terbatas. Pertandingan tahunan kali ke-13 anjuran Institut Pengurusan, Penyelidikan dan Inovasi (IRMI) itu mendapat hampir 700 penyertaan daripada seluruh negara tidak kira pelajar sekolah, mahasiswa, institusi penyelidikan dan orang awam.

Dalam kalangan ratusan produk luar biasa yang dipamerkan pada kategori pameran reka cipta, tuah menyebelahi Dr. Khairul Adzfa Radzun yang membawa pulang pingat emas. Beliau berjaya menambat hati juri dengan produk ciptaannya iaitu sistem formulasi bahan kimia atau media secara robotik (AMOS).

Lebih manis, beliau turut meraih pingat gangsa bagi kategori Elevator Pitch dalam kalangan 45 peserta yang bertanding pada pertandingan tersebut. Kategori itu memerlukan para peserta menerangkan kepada panel juri dengan cepat, tepat dan penuh informasi dalam tempoh lima minit sahaja.

Pemegang Doktor Falsafah dari Universiti Queensland, Australia itu mencipta sistem robot yang dapat mencampurkan pelbagai bahan kimia atau media dalam suhu bilik dengan lebih efektif dengan jumlah uji kaji yang banyak (high-throughput) seterusnya menghasilkan formulasi yang optimum.

“AMOS bertindak sebagai kebuk untuk menjalankan proses campuran bahan kimia atau media menggunakan piring 96 mikro telaga. Ia sebagai platform dan boleh menjalankan uji kaji pertumbuhan sel seperti kultur sel bakteria, sel mikroalga, kultur tumbuhan serta haiwan.

“Formulasi bahan kimia atau media yang telah dihasilkan daripada sistem ini termasuklah pertumbuhan mikroorganisma dan kultur sel, baja tumbuhan serta bahan pembasmi pertumbuhan alga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Unit Penyelidikan Inovasi Perniagaan (RIBU), UiTM, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Selain itu, Khairul Adzfa berkata, teknologi berkenaan boleh diaplikasikan untuk menghasilkan bahan nutraseutikal, farmaseutikal, kosmeseutikal serta bahan nanomaterial.

Luar biasa

Cerita anak jati Kampung Morten, Melaka itu, sistem robot tersebut telah digunakan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad Research (TNBR) untuk kajian mengoptimumkan media mikroalga mereka dengan anugerah geran konsultansi berjumlah RM500,000.

Malah, Khairul Adzfa memberitahu, Bellus Terra Sdn. Bhd., turut menganugerahkannya geran mencecah RM3 juta bagi projek mengoptimumkan baja tumbuhan dan medium Mikrob Efektif selama lima tahun. Tambah Khairul Adzfa, produk itu hanya terdapat di Australia dan Malaysia, sekali gus menjadikannya amat unik serta luar biasa.

“Sistem robotik ini adalah hasil daripada kajian ketika saya melanjutkan pengajian di Universiti Queensland dalam bidang Mikroalga, Bioteknologi dan Biokejuruteraan. Justeru, di Malaysia sistem AMOS adalah yang lebih terkini kerana saya telah menambah baik sistem pencahayaan, penutup gas dan mengintegrasikan sistem pengagihan cecair supaya ia dapat bertindak dengan lebih efektif,” katanya.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu memberitahu, penyelidik dahulu menghadapi kesukaran untuk mencari formulasi yang diinginkan dengan cepat kerana mereka memerlukan ruang, tenaga kerja serta kos yang besar.

Bagaimanapun, konsep asas sistem robot yang dihasilkannya dikatakan berjaya mengatasi kesemua masalah tersebut sehingga membolehkan uji kaji dilakukan dengan lebih banyak dalam sesuatu tempoh.

Noradzhar Baba (kanan) menerima pingat emas menerusi produk Tea Rintis yang dihasilkannya.

Sementara itu, produk Tea Rintis oleh pensyarah Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan UiTM, Prof. Madya Dr. Norliza Aminudin dan Noradzhar Baba turut berjaya meraih pingat emas. Menurut Norliza, produk itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM di Shah Alam melibatkan Desa Hujung Rintis, Teluk Intan, Perak.

“Kami berusaha memikirkan beberapa cara untuk membantu mereka menjana pendapatan tetapi tidak berjaya sehinggalah tercetusnya idea untuk mencipta produk teh daripada pokok berembang yang terdapat di sekitar Sungai Perak,” katanya.

Cerita anak jati Kuala Kangsar, Perak itu, pihaknya telah mempatenkan produk berkenaan bagi memastikan ia tidak diciplak oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

“Di situ terdapat pelbagai tarikan seperti kunang-kunang, nira nipah, habitat udang galah, produk makanan tradisional dan sebagainya tetapi kekangan kewangan menjadikan kawasan tersebut tidak dapat dikomersialkan. Justeru, tarikan ini perlu dipelihara daripada ancaman individu yang mengejar keuntungan semata-mata dalam kerancakan mempromosikan kawasan berkenaan,” ujarnya.

Produk Tea Rintis menjalani proses analisis di makmal sebelum dihasilkan.

Jana pendapatan

Norliza mengakui bahawa penduduk desa berkenaan tidak mendapat keuntungan yang besar seperti produk lain yang terkenal di pasaran tetapi setidak-tidaknya dapat membantu menjana pendapatan mereka. Oleh itu, Norliza berkata, pihaknya akan sedaya upaya untuk mengekalkan cara konvensional dalam proses penghasilan Tea Rintis supaya penduduk mempunyai pekerjaan.

Bagi Noradzhar yang memiliki kepakaran dalam Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Tea Rintis yang mengandungi antioksidan yang tinggi itu dilihat sebagai produk yang mampu menjulang nama Desa Hujung Rintis. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, proses formulasi penghasilan Tea Rintis memakan masa selama enam bulan termasuk menjalani uji kaji oleh konsumer terlatih dan tidak terlatih.

Cerita anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu, pihaknya menghantar formulasi teh untuk kajian makmal bagi mengkaji dengan lebih lanjut tentang khasiat yang terkandung dalam formulasi Tea Rintis.

“Dalam beberapa sampel teh yang dihasilkan, rata-rata konsumer menggemari teh yang tidak terlalu merah dan berwarna kuning keemasan. Warnanya hampir sama dengan produk yang berada di pasaran tetapi rasanya cukup luar biasa,” ujarnya.

 

Oleh: Afiq Amani Nahdirsha
Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/genk/idea-kreatif-terokai-dunia-sains-1.762715

0
0