Aqil cipta kejutan, Azreen pecah rekod

MUHAMMAD AQIL YASMIN (kanan) memecut ke garisan penamat acara 100m dengan disaingi oleh Muhammad Haiqal Hanafi.

IPOH 18 Sept. – Ketika tumpuan diberikan kepada dua atlet kebangsaan, pelari pecut Selangor, Muhammad Aqil Yasmin mencuri perhatian apabila memenangi emas bagi acara 100 meter Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu muncul pelari terpantas Sukma 2018 apabila melakukan catatan masa 10.39 saat, mengatasi dua pelari kebangsaan iaitu Muhammad Haiqal Hanafi dari Ne­geri Sembilan yang ketinggalan 0.04s untuk berada di tempat kedua dan wakil Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail memenangi gangsa selepas membuat larian 10.46s.

Menurut Aqil segala pe­rancangan yang dilakukan jurulatihnya, Simon Lau membuahkan hasil apabila selain memperoleh pingat emas dia turut memperbaiki catatan masa peribadi terbaik.

“Terima kasih kepada keluar­ga yang hadir menyaksikan larian saya, begitu juga jurulatih dan rakan-rakan. Saya memang me­nyasarkan untuk membuat catatan peribadi terbaik serta mendapatkan pingat. Alhamdulillah kedua-duanya dapat dicapai.

“Mereka (Haiqal dan Zulfiqar) baru pulang dari Sukan Asia 2018 namun itu tidak menjadi masalah untuk saya memberi saingan kerana sebelum berlari jurulatih memberitahu, mereka juga manusia biasa dan tidak mustahil saya boleh mengatasi mereka,” katanya kepada pemberita.

Aqil, yang merupakan pelajar jurusan Diploma Sains Sukan semester enam di Universiti Teknologi MARA(UiTM) Shah Alam berkata, dia tidak mahu cepat berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan.

“Saya harap boleh buat catatan lebih baik dan selepas ini saya akan merangka dan menyusun program latihan. Selepas ini saya akan mengambil bahagian dalam acara 4x100m dan 200m. Kemenangan ini juga memperbaiki pencapaian dua tahun apabila saya menduduki tempat keempat di Sarawak,” katanya lagi.

AZREEN NABILA ALIAS (kiri) melintasi garisan penamat untuk memenangi pingat emas 100m Sukma 2018 di Stadium Perak, Ipoh

Sementara itu, atlet dari Terengganu, Azreen Nabila Alias menepati ramalan apabila muncul ratu pecut Sukma 2018 selepas memenangi acara 100m wanita dengan catatan masa 11.81s, sekali gus meleburkan rekod temasya berusia 10 tahun milik Siti Fatima Mohamad dari Johor dengan larian 11.82s.

Perak dimenangi atlet Sabah, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dengan catatan masa 12.17s, manakala gangsa dimenangi rakan senegerinya Ikma Syaffiera Duris, 12.280s.

“Saya tidak sangka dapat pecah rekod Sukma kerana sasaran saya hanya mahu dapatkan pingat. Mungkin kehadi­ran ibu saya memberi semangat dan motivasi kepada saya untuk membuat larian,” kata Azreen.

 

Oleh: Fadhilul Izmel Ishak, Rozaidi Zulkifli, Khairul Abidin Nuar, Asliza Musa
Jurugambar: Zulkarnain Saidin, Syefry Moniz Nizar, Azrul Edham Aminuddin
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/aqil-cipta-kejutan-azreen-pecah-rekod-1.750223#ixzz5RVVziBTN
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0