Penganjur pindah atlet ke UiTM Tapah

PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memberi taklimat media sempena SUKMA 19 Perak 2018 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, Ipoh. – Foto Abdullah Yusof

IPOH: Semua atlet Sukan Malaysia Perak Ke-19 (SUKMA PERAK XIX) yang ditempatkan di Sekolah Izzuddin Shah (SIS) akan dipindahkan ke kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Tapah, berikutan masalah kekurangan fasiliti di sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata kerajaan negeri selaku pihak penganjur SUKMA, memohon maaf berkenaan isu ketidakpuasan hati terhadap penginapan di SIS seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menurut Howard, SIS dipilih untuk penempatan atlet kriket, tenpin boling dan sebahagian atlet badminton yang berkongsi dengan Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) selepas penarikan diri Kolej Vokasional Ipoh pada saat akhir.

“Penarikan diri Kolej Vokasional Ipoh disebabkan jadual bagi penginapan atlet bertindih dengan jadual pembelajaran yang tidak dapat dihabiskan bagi semester ini,” kata Howard pada sidang media di Majlis Sukan Negeri Perak di sini, hari ini.

“Pihak Kolej Vokasional terpaksa memendekkan cuti semester pelajar di seluruh negara sekiranya terus terbabit menjadi lokasi penginapan rasmi edisi SUKMA kali ini. Berikutan itu, atlet-atlet yang ditempatkan di SIS akan dipindahkan ke UiTM Tapah yang kondusif dan lebih sesuai didiami, berkongsi penginapan dengan atlet angkat berat.”

Pihak penganjur juga akan menanggung kos-kos tambahan seperti logistik berikutan perjalanan dari Tapah ke venue pertandingan di Ipoh yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

“Apa yang dilaporkan itu adalah kontinjen dari Pulau Pinang dan saya sendiri telah berhubung dengan ketua kontinjen iaitu Datuk Seri Farizan Darus, juga merangkap Setiausaha Kerajaan negeri itu. Beliau memahami situasi kami dan saya bersama beliau akan berbincang esok pagi untuk menyelesaikan isu ini.

“Kita tidak ingin ada apa-apa yang akan memburukkan nama kerajaan negeri, sekretariat SUKMA mahupun kejohanan ini secara keseluruhan. Kesilapan adalah daripada pihak kami dan tanggungan juga harus daripada pihak kami. Kepada kontinjen yang telah pun mencari alternatif di luar sana seperti inap desa, kami akan cuba berunding dengan mereka dan juga adakan satu penyelesaian menang-menang untuk semua,” katanya.

Menurutnya, masalah itu berlaku kerana pihak yang diamanahkan untuk melakukan kerja baikpulih di SIS gagal berbuat demikian dan ia adalah satu kesilapan kepada kerajaan negeri.

Akhbar berbahasa Inggeris itu hari ini melaporkan kontinjen pasukan badminton dari Kedah, Pulau Pinang dan beberapa negeri lagi terpaksa menginap di hotel berikutan keadaan dan persekitaran di SIS yang tidak kondusif.

Menurut salah seorang atlet, seperti dilaporkan, beberapa bilik asrama tidak dilengkapi dengan tingkap, kipas tidak berfungsi dan pintu bilik tidak boleh dikunci.

 

Oleh: Zahratulhayat Mat Arif
Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2018/09/471477/penganjur-pindah-atlet-ke-uitm-tapah

0
0