QS Graduate Employability Rankings 2019 : UiTM memperoleh kedudukan ke-4 terbaik di Malaysia

SHAH ALAM 12 September – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah terbukti masih mendapat keyakinan pihak majikan apabila telah disenaraikan di antara 500 institusi pengajian tinggi terbaik di dunia dalam edisi ketiga QS Graduate Employability Rankings 2019, yang dikeluarkan pada 11 September 2018. UiTM  telah mengekalkan kedudukan di antara  301-500 institusi terbaik dunia di antara universiti-universiti terkemuka Malaysia seperti UKM dan USM. Turut serta di dalam kalangan 301-500 institusi terbaik dunia adalah UIA dan UCSI. UM dan Taylor’s Universiti telah berjaya mendahului senarai ini dengan kedudukan 161 – 170 dan 201 – 250, masing-masing.

Dr. Nornizar Anuar, Ketua Pencapaian dan Penarafan

UiTM juga telah berjaya memperoleh kedudukan ke-4 terbaik di Malaysia bagi kategori kadar kebolehpasaran graduan. Petunjuk kerjasama di antara pelajar dan majikan adalah petunjuk yang mendapat skor tertinggi bagi UiTM dan telah meletakkan UiTM pada kedudukan 200 terbaik dunia.

Keputusan ini menunjukkan komitmen UiTM dalam mementingkan pandangan majikan dalam kualiti graduan yang dikeluarkan serta keyakinan majikan ke atas pelajar-pelajar UiTM kerana hadir di UiTM dalam usaha memperkenalkan syarikat masing-masing dan menjalankan temuduga kerja di UiTM. Manakala dari pengukuran penglibatan latihan industri dan penempatan pekerjaan untuk  pelajar dan graduan di syarikat-syarikat di Malaysia,  telah mendapat skor nisbah 61.9 berbanding purata nisbah nasional iaitu sebanyak 43.3.

Ini menunjukkan hubungan serta kerjasama erat dan berterusan di antara UiTM serta pihak syarikat. Buat pertama kalinya, pihak QS telah mengeluarkan fail fakta bagi setiap universiti yang mendapat penarafan, yang membolehkan analisa secara menyeluruh dijalankan.

Skor yang diberikan untuk setiap universiti adalah berdasarkan bilangan pensyarah dan pelajar di sesebuah institusi berkenaan, seperti petunjuk hubungan di antara universiti dan majikan diukur untuk setiap 1000 orang pelajar dan petunjuk penglibatan latihan industri dan penempatan pekerjaan diukur untuk setiap 100 orang staf akademik.

Untuk tahun 2018, UiTM Selangor telah merekodkan bilangan pensyarah seramai 3,313 dan pelajar seramai 47,801, dan dengan kedudukan yang diperoleh pada tahun 2019, UiTM berbangga dengan pencapaian ini. Tahniah UiTM!

1
0