Graduan UiTM popular dalam kalangan majikan

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said.

SHAH ALAM 12 Sept. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) terbukti masih mendapat keyakinan daripada pihak majikan apabila tersenarai antara 500 institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik dunia dalam edisi ketiga QS Graduate Employability Rankings 2019 yang dikeluarkan semalam.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, universiti itu kekal pada kedudukan antara 301 hingga 500 IPT terbaik dunia.

Pada masa sama, beliau berkata, UiTM turut berjaya berada pada kedudukan keempat terbaik di Malaysia bagi kategori kadar kebolehpasaran graduan.

“Keputusan ini memperlihat komitmen UiTM yang mengutamakan pandangan majikan terhadap kualiti graduan yang dikeluarkan. Ini ditambah dengan keyakinan majikan terhadap pelajar UiTM yang hadir pada sesi temuduga dan usaha majikan memperkenalkan syarikat masing-masing yang dijalankan di UiTM,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Universiti lain di Malaysia yang tersenarai termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya dan UCSI University yang berada pada kedudukan sama dengan UiTM iaitu 301 hingga 500, manakala Universiti Malaya dan Taylor’s University, masing-masing tersenarai pada kedudukan 161 hingga 170 dan 201 hingga 250. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/graduan-uitm-popular-dalam-kalangan-majikan-1.746302#ixzz5QtENfiCr
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0