Variasi konsep serlah kreativiti pereka muda

Penekanan corak dan paduan warna oren, kuning dan hijau dilakukan pada persalinan ini yang berkonsepkan kawasan panas di Dallol, Ethiopia (kiri). Terjemahan rekaan memukau dan menarik bertemakan permainan susun atur Tetris (kanan)

HIDUP dalam negara yang dilengkapi fasiliti berteknologi tinggi telah melahirkan masyarakat Malaysia yang berdaya saing dalam pelbagai bidang termasuklah fesyen.

Perkara tersebut dibuktikan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor melalui Fakulti Seni Lukis dan Seni Rekanya dengan penganjuran pertunjukan fesyen yang diadakan baru-baru ini.

Menariknya, walaupun hanya di peringkat universiti, pertunjukan tersebut dilihat nyata menyerlahkan bakat dan potensi pereka muda dalam dunia rekaan fesyen.
Rekaan berkonsepkan seni opera dari Jepun ini menjulang Muhd. Amirul Naim sebagai pemenang Anugerah Emas bagi koleksi terbaik (kiri). Versatil dan menarik jalanan ini diterjemahkan daripada permainan roller-coaster (kanan).
Pensyarah Kanan Seni Reka Fesyen UiTM, Faizal Hamid berkata, pihaknya sengaja tidak meletakkan sebarang tema tertentu bagi mengelak skop rekaan terbatas dan berlaku pengulangan.

“Kami beri mereka peluang untuk membuat sendiri penyelidikan tentang tema yang digemari, membuat ramalan kehendak fesyen dan pasaran, tekstur warna serta aksesori yang sepadan dengan koleksi mereka.

Cemerlang

“Hasilnya, ia menunjukkan bahawa pelajar kita mempunyai visi dan wawasan cemerlang dalam industri fesyen. Lihat sahaja tema yang dipilih dengan aspirasi mereka terhadap pakaian, sungguh mengujakan,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan tersebut di Panggung Sari Kompleks Budaya Kraf, Jalan Conlay, ibu negara baru-baru ini.

Antara rekaan yang menarik perhatian termasuklah hasil karya Muhd. Amirul Naim Hasbullah yang juga pemenang Anugerah Emas bagi koleksi terbaik.

Gula-gula kapas versi persalinan wanita (kiri). Elemen ketenteraan koleksi Armour ini antara yang mempesonakan penonton (kanan).

Mengangkat inspirasi seni Opera Kabuki negara Jepun sebagai tunjang kepada gaya jalanan, penekanan Muhd. Amirul Naim kepada aspek dramatik dari segi pemilihan fabrik kapas dan kombinasi merah hitam ternyata membuahkan hasil.

Hadir dengan empat rekaan versatil, elemen kimono kontemporari yang diinterpretasikan bersama solekan unik, berjaya menarik perhatian juri terdiri daripada pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat dan Fairuz Ramdan.

Tidak ketinggalan, tema pemenang Anugerah Perak, Lily Syahirah Rosidi Fahlid yang menjadikan kawasan permukaan paling panas di dunia iaitu di Dallol, Ethiopia sebagai inspirasi dalam menghasilkan koleksi rekaan untuk wanita dan lelaki.

Gaya ranggi paduan warna ceria olahan istimewa fesyen jalanan dari Jepun yang semakin mendapat tempat dalam kalangan remaja masa kini.

Elemen panas dan merekah berjaya diterjemahkan dengan baik menggunakan warna menakjubkan seperti perang, perak, sulfur dan hijau.

Sementara pemenang Anugerah Gangsa, Mohd. Faiz Ripin pula tidak kurang hebatnya dengan menampilkan pakaian gaya jalanan untuk lelaki menggunakan unsur kehebatan motosikal Harley Davidson.

Suntikan elemen moden dan maskulin yang ditampilkan menggunakan fabrik PVC, kulit lembu, nilon dan dekorasi perak cukup versatil digayakan lelaki aktif, bergaya dan lasak.

Sementara konsep lain yang turut dilihat menonjol termasuklah, gaya feminin gula-gula kapas, roller-coaster, permainan legenda PacmanTetris, gaya jalanan Tokyo serta stail ketenteraan.

 

Oleh: Munirah Azman
Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/stailo/variasi-konsep-serlah-kreativiti-pereka-muda-1.724013

0
0