ANGKASA lantik Timbalan, Naib Presiden baharu

Datuk Che Shukree Che Isa dipilih kerusi Naib Presiden

KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) melantik Datuk Kamarudin Ismail sebagai Timbalan Presiden ANGKASA menggantikan Mutadho Bahri yang meletak jawatan secara sukarela pada 1 Julai lalu.

Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA yang bermesyuarat pada 1 Ogos lalu telah memilih Kamarudin yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden ANGKASA.

 Pada mesyuarat itu juga Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Kelantan, Datuk Che Shukree Che Isa telah dipilih untuk mengisi kekosongan kerusi Naib Presiden ANGKASA.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, dalam kenyataan berkata kedua-dua tokoh yang dipilih itu mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang koperasi dan juga perjalanan pentadbiran ANGKASA.

“Kamarudin yang juga pemegang Ijazah Pendidikan (TESL) dari Universiti Edinburgh, Scotland dipilih sebagai Ahli Lembaga PengarahIkatan Koperasi Antarabangsa (ICA) global bagi sesi 2017-2021 pada Persidangan Global dan Mesyuarat Agung ICA di Kuala Lumpur, November tahun lalu.

“Beliau yang menyertai ANGKASA pada tahun 2012 sebagai Naib Pengerusi, turut memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Koperasi Antarabangsa (ICA), Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Holding Sdn Bhd, Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Services Sdn Bhd dan MyANGKASA Bina Sdn Bhd serta beberapa jawatan pengurusan tertinggi ANGKASA,” katanya.

Sementara itu, Che Shukree pula adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menerima Sijil Pengurusan Pentadbiran dari Universiti Harvard.

Beliau adalah Ahli Lembaga Koperasi Wawasan Malaysia Bhd (KOWAMAS) dan Ahli Lembaga Pengarah MyANGKASA Bina Sdn Bhd.

Che Shukree menyertai ANGKASA pada 2011 sebagai ahli lembaga Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Kelantan dan kemudiannya dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Kelantan.

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2018/08/458626/angkasa-lantik-timbalan-naib-presiden-baharu

0
0