Teknologi hologram gamit pengunjung pameran grafik

Teknik hologram digunakan dalam persembahan animasi Gayo Nakan – Foto Shaiffulazhar Misri

MELAKA: Penggunaan teknologi hologram dalam pembikinan animasi, dilihat antara karya menarik pada Pameran Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda, Jurusan Seni Reka Grafik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu.

Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka Grafik UiTM Lendu, Brandon Caine, 24, menggunakan teknologi berkenaan menerusi animasi Gayo Nakan ‘Kinabalu Giant King’.

Mengambil masa lima bulan untuk menyiapkan hasil kerja itu, beliau berkata, teknologi hologram adalah sesuatu yang baharu dan mampu membangkitkan ‘faktor wow’ kepada pengunjung.

Katanya, beliau memilih mitos masyarakat Kadazandusun mengenai Raja Gergasi bernama Gayo Nakan sebagai subjek utama dalam pembikinan animasi kerana semangat jati dirinya kepada Sabah, negeri kelahirannya.

“Saya berusaha mengolah Gayo Nakan daripada 2D kepada 3D dengan menggunakan pelbagai perisian komputer seperti Adobe After Effects, Audio dan Randering.

“Dengan penciptaan animasi ini, orang ramai pasti akan tertarik dengan wira dan mitos Sabah ini,” katanya ketika ditemui pada pameran berkenaan yang diadakan di Restoran Melayu Melaka.

Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob melihat karya pelajar yang dipamerkan sempena Pameran Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Jurusan Seni Reka Grafik, UiTM Alor Gajah – Foto Shaiffulazhar Misri

Yang turut hadir, Pengarah Galeri Shah Alam dan Pereka Setem Negara, Prof Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob dan Ketua Pusat Pengajian Fakuliti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Melaka, Dr Azahar Harun.

Seorang lagi pelajar, Najihah Razman, 24, berkata beliau memilih tajuk Pembaziran Makanan dalam kalangan masyarakat pada pameran itu kerana isu berkenaan dilihat semakin berleluasa.

Sebelum memulakan kempen iklan itu, katanya, beliau mengedarkan borang kaji selidik kepada 100 orang bagi menjalankan kajian.

Sebahagian pelajar bersama Pameran Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik, UiTM Alor Gajah di Restoran Melayu Melaka, Jalan Yun Mutahir – Foto Shaiffulazhar Misri
Sebahagian pensyarah melihat hasil karya pelajar yang dipamerkan sempena Pameran Pelajar Semester Akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik, UiTM Alor Gajah – Foto Shaiffulazhar Misri

Katanya, apa yang memeranjatkan, kajian mendapati kebanyakan mereka yang mempunyai masalah pembaziran makanan terdiri daripada wanita berusia 23 hingga 28 tahun yang tinggal di kawasan bandar.

“Dalam siri kempen iklan yang dilakukan, saya bekerjasama dengan pihak konsesi pembersihan untuk melaksanakan pemberitahuan dalam bentuk iklan mengenai kempen pembaziran.

“Antara bentuk iklan ialah promosi di televisyen, ‘teaser’ dalam bekas makanan, risalah, poster bersiri, ‘teaser’ poster QR code, baju T dan butang lencana,” katanya.

 

Oleh: Shaiffulazhar Misri
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/07/448192/teknologi-hologram-gamit-pengunjung-pameran-grafik

0
0