Graduan bukti kemampuan ceburi bidang pertanian

Muhamad Wafi (kanan) dan Nor Farah Ain menunjukkan rock melon gred A – Foto D J Dolasoh

LENGGONG: Dua graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan, di sini, membuktikan kemampuan menceburi bidang pertanian sekalipun memiliki kelulusan dalam jurusan berlainan.

Muhamad Wafi Muhamad Nonudin, 32, dan rakannya, Nor Farah Ain Barom, 25, mengusahakan bersama projek penanaman rock melon serta nanas di tanah seluas tiga hektar di Kampung Selat Pagar, di sini.

Muhamad Wafi yang menamatkan pengajian dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis Kampus Arau dan Nor Farah Ain (UiTM Terengganu Kampus Dungun) sepakat menerokai bidang pertanian selepas mendapat khidmat nasihat daripada pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lenggong serta sokongan kuat daripada bapa Nor Farah Ain, Barom Hassan, 56.

Mereka memulakan Projek Tanaman Sayuran dan Buah di tanah milik PPK Lenggong dengan penanaman 63,950 pokok nanas jenis Morris serta MD2, Februari lalu, disusuli 4,800 pokok rock melon secara fertigasi pada 27 April lalu.

Muhamad Wafi berkata, tanaman rock melon baru sahaja matang dan hasil lima tan metrik sudah dipungut setakat ini, manakala lebih tiga tan lagi dijangka dituai beberapa minggu lagi.

“Setakat ini, pasaran rock melon tiada masalah kerana selain diambil pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), ia juga mendapat permintaan tinggi daripada syarikat swasta dan orang ramai.

Muhamad Wafi dan Nor Farah Ain di ladang nanas yang diusahakan mereka di Kampung Selat Pagar, Lenggong – Foto D J Dolasoh

“Harga dalam pasaran di negeri ini ialah antara RM7 hingga RM8 sekilogram, sekali gus menjadi pendorong kuat untuk kami terus giat mengusahakan tanaman buah ini. Penanaman fasa kedua pada akhir bulan lalu membabitkan 3,800 pokok lagi,” katanya ketika ditemui di ladang mereka, semalam.

Bersandarkan semangat tinggi untuk berjaya dalam bidang pertanian, katanya, beliau turut menyewa tanah empat hektar bekas sawah penduduk di Kampung Gelok bagi penanaman 3,000 pokok timun dan 83,000 pokok nanas yang hasil dijangka boleh dituai pada April tahun depan.

Sementara itu, Nor Farah Ain berkata, beliau bangga bergelar usahawan dalam bidang pertanian walaupun memiliki ijazah jurusan lain, malah tidak menyangka projek sulung diusahakan memberi pulangan lumayan.

“Modal keseluruhan bagi projek tanaman ini ialah hampir RM500,000 yang dipinjam daripada keluarga.

“Kami berhasrat membesarkan lagi projek ini dan kini dalam proses memohon tanah seluas 100 hektar daripada kerajaan negeri, justeru berharap ia dapat diluluskan segera,” katanya.

Oleh: D J Dolasoh
Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/448201/graduan-bukti-kemampuan-ceburi-bidang-pertanian

0
0