‘Free Market’ UiTM dapat sambutan

MASYARAKAT berpusu-pusu mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma di sini semalam. – UTUSAN ONLINE/NURAIKHA SHARIPUL BAHARI

MACHANG 7 Jun – Hanya perlu bersabar dan meminta secara baik serta penuh budi bahasa, penduduk setempat boleh menerima pelbagai jenis barangan keperluan dapur lain dan keperluan harian secara percuma.

Itu adalah konsep diketengahkan oleh program ‘Free Market’yang dianjurkan Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Kelantan di Masjid Belukar semalam.

Menurut pengarah program tersebut, Hanis Kamarudin, program kali kedua itu mendapat sambutan yang amat baik serta menerima hampir 50 penyumbang iaitu melibatkan kakitangan dan pelajar UiTM serta orang awam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mencari penyumbang melalui beberapa agensi-agensi kerajaan mahupun swasta bagi meneruskan program ini pada masa akan datang jika mendapat penyertaan yang baik.

MASYARAKAT berpusu-pusu mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma di sini semalam. – UTUSAN ONLINE/NURAIKHA SHARIPUL BAHARI

“Program ini adalah seperti pasar lambak yang menjual barangan baru, barangan terpakai serta barangan makanan, namun orang ramai tidak perlu mengeluarkan duit untuk mendapatkan barangan tersebut, semuanya percuma.

“Kami amat berterima kasih kepada 50 penyumbang dan pihak masjid di atas kerjasama yang telah diberi,” katanya ketika di temui di sini semalam.

Katanya, bagi program akan datang, pihaknya akan berusaha untuk menambahkan lagi bilangan penyumbang agar lebih ramai penduduk mendapat manfaatnya.

Dalam majlis sama, UiTM menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 40 penduduk kurang berkemampuan serta menyantuni pelajar Tahfiz Darul Azim.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Mohd Rosli Tuan Hassan.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, pihaknya berharap agar lebih ramai penyumbang menyalurkan bantuan sama ada dari segi wang ringgit mahupun barangan supaya program ini dapat diperbesarkan lagi pada masa akan datang.

“Kita lihat hampir 500 penduduk mula berkumpul seawal pukul 8 pagi untuk mengambil barangan yang disediakan, “ ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-free-market-uitm-dapat-sambutan-1.687051#ixzz5HnA4kfMS
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0