Universiti terbuka: UiTM alu-alukan namun keselamatan diutamakan

Program Rewang Ramadan Canseleri 2018 telah berlangsung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam

SHAH ALAM – 8 Jun 2018 – Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak pernah menghalang sebarang penglibatan pihak luar di universiti berkenaan selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada warganya,” kata Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

Menurutnya, pihak universiti sentiasa mengalu-alukan cadangan konsep universiti terbuka yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.

“Namun kita mengambil sikap berhati-hati atas faktor keselamatan pelajar-pelajar kita dalam soal ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rewang Ramadan Memasak Bubur Lambuk di Bangunan Canseleri di sini hari ini.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said

Hassan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan baru-baru ini yang menggesa semua universiti awam membuka akses kepada masyarakat luar sebagai mana amalan institusi pengajian tinggi terkemuka dunia seperti Harvard, Oxford dan Cambridge.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, naib-naib canselor dan timbalan-timbalan canselor juga dikehendaki tidak menghalang sebarang bentuk program debat, forum atau wacana yang dianjurkan mahasiswa.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pihaknya tidak mahu elemen negatif seperti Daesh menyusup masuk ke dalam 35 kampus UiTM di seluruh negara kerana pihaknya pernah menghadapi kes sedemikian tahun lalu apabila ada bekas pelajarnya yang dikesan terlibat dengan ideologi kumpulan tersebut.

“Kita sebagai universiti yang mempunyai hampir 700,000 alumni di segenap pelusuk negara mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kaum bumiputera terus mendapat pendidikan sewajarnya, selaras dengan akta sedia ada.

“Sebagai sebuah universiti untuk bumiputera, setiap perkara negatif akan memberi kesan kepada kita. Justeru kita mengalu-alukan sebarang program yang menyuburkan minda intelek dan menolak elemen negatif di sebalik keterbukaan tersebut,”‘katanya. – K! ONLINE

 

Oleh : Abdul Razak Idris
Sumber : http://www.kosmo.com.my/terkini/universiti-terbuka-uitm-alu-alukan-namun-keselamatan-diutamakan-1.688061

0
0