UiTM Rembau dan Universiti Chulalongkorn menyelusuri cabaran penyiaran digital

PELAJAR tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dan pensyarah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau semasa lawatan ke Fakulti Seni Komunikasi, Universiti Chulalongkorn.-UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 1 Jun – Perkongsian maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau bersama Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand memberi pendedahan kepada pelajar untuk memahami kaedah penyampaian maklumat menggunakan platform digital.

Malah kaedah digital yang dilihat semakin berkembang pesat kesan ledakan digital itu tidak hanya mempengaruhi landskap penyiaran dalam negara, malahan kepada seluruh dunia.

KETUA Pusat Pengajian FKPM, Wan Admiza Wan Hassan (tengah) menyampaikan cenderahati kepada pensyarah dari Universiti Chulalongkorn, Dr Jessada Salathong.-UTUSAN ONLINE

Menurut pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Kampus Rembau, Muhammad Azril Izuan Ramlan, perkongsian ilmu yang melibatkan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) itu memberikan pendedahan agar mereka bersedia untuk menghadapi perkembangan teknologi yang dilihat semakin dituntut dalam industri penyiaran ketika ini.

“Jika kita lihat, industri penyiaran di Thailand telah menyahut cabaran tersebut dengan 25 lesen saluran digital telah dikeluarkan oleh pihak berwajib.

“Lawatan akademik ini memberi gambaran yang lebih jelas kepada para pelajar untuk mengenali halangan dan pendekatan dalam penyiaran yang berlaku di negara gajah putih itu,” ujarnya kepada Utusan Online selepas mengadakan lawatan akademik “International Broadcasting Academic Exchange 2.0” (IBAE2.0) di Bangkok, Thailan baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pendedahan ini juga perlu dikaji dan diberi perhatian yang serius oleh para pelajar mahupun pengamal media terhadap minat dan permintaan orang ramai serta tahap kepuasan mereka agar industri ini kekal relevan.

Dr. Jessada Salathong ketika perkongsian ilmu kepada pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.-UTUSAN ONLINE

Sementara itu, pensyarah yang juga pengamal media dari Universiti Chulalongkorn, Dr. Jessada Salathong berkata, ledakan media sosial sebagai medium utama memberi kesan kepada penyiaran arus perdana yang turut menuntut negara itu beralih arah ke platform digital.

“Kebergantungan generasi masa kini terhadap media sosial sedikit sebanyak menggugat keutuhan media arus perdana. Justeru itu, kita perlu melakukan sesuatu bagi menarik semula minat mereka.

“Revolusi teknologi digital memberi cabaran besar kepada industri penyiaran untuk menghasilkan program TV di luar kebiasaan demi meraih rating yang tinggi,” ujarnya.

Bagi siswi tahun akhir, Aina Mariah Mohd Poad, peluang yang diberi melalui lawatan ini memberi pengalaman baru selain mempelajari ilmu penyiaran luar negara yang boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan program yang lebih berkualiti.

“Sebagai pelapis yang bakal menerajui bidang ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam memperkasakan kajian dalam bidang ini agar terus kekal menjadi sumber utama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Oleh : Muhammad Azim Zaid
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/uitm-rembau-dan-universiti-chulalongkorn-menyelusuri-cabaran-penyiaran-digital-1.683393#ixzz5HPfW7UXc
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0