Alumni UiTM – Abdul Hafiz : Perjuangkan grafiti sebagai satu seni

Katun atau nama sebenarnya, Abdul Hafiz Ab. Rahman

Katun atau nama sebenarnya, Abdul Hafiz Ab. Rahman mempunyai impian besar untuk menukar tanggapan masyarakat yang melabel grafiti sebagai suatu aktiviti vandalisme.

SAMBIL tangan kirinya memegang tin cat sembur, Abdul Hafiz Ab. Rahman, 31, mula mendekati dinding simen berwarna putih yang masih kosong.

“Saya memang sudah biasa membuat seni grafiti. Malah, saya lebih selesa jika melukisnya secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana lakaran.

“Bagi saya, jika ada lakaran pun, ia hanyalah sekadar panduan untuk saya mendapatkan idea berhubung bentuk grafiti yang ingin dihasilkan kerana saya lebih suka berkarya mengikut kreativiti sendiri,” katanya yang lebih dikenali sebagai Katun dalam dunia seni grafiti.

Abdul Hafiz yang ditemui semasa sesi temu bual khas yang diatur di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Nippon Paint (M) Sdn. Bhd. (Nippon Paint) di Subang Utama, Shah Alam, Selangor baru-baru turut membawa seunit kepala penyembur yang direka oleh seorang rakannya yang juga artis seni grafiti.

Katanya, kepala penyembur itu sangat penting bagi memudahkan kerja-kerja melukis grafiti kerana ia mampu menjadikan semburan lebih tajam berbanding kepala penyembur biasa yang terdapat pada cat sembur.

Setelah kira-kira 45 minit berlalu, Katun berjaya menyiapkan satu seni grafiti pada dinding simen yang memaparkan tulisan PYLOX yang merujuk kepada jenis cat sembur yang dipasarkan Nippon Paint.

Padanan pelbagai rona yang digunakan untuk menghasilkan grafiti itu berjaya menonjolkan ia sebagai satu karya seni.

SEBAGAI pelukis grafiti, Katun berharap seninya boleh diterima pelbagai pihak dan tidak lagi dianggap sebagai vandalisme.

Tempa nama

Lebih menarik, ia dihasilkan oleh seorang artis seni grafiti yang berjaya menempa nama pada peringkat antarabangsa.

Justeru, tidak hairanlah apabila Katun mengabdikan namanya sebelum menamatkan kerja-kerja menghasilkan grafiti itu sebagai tanda bahawa ia merupakan karya seninya.

“Memang sudah menjadi kebiasaan, saya akan meletakkan nama sebagai tanda ia merupakan hasil kerja saya. Perkara ini turut dilakukan oleh mana-mana artis grafiti di seluruh dunia.

“Malah, jika dilihat kepada karya berbentuk lukisan pun, pelukis pasti akan mengabadikan nama mereka di satu sudut,” katanya.

Bercerita tentang penglibatannya dalam seni melukis grafiti, anak muda kelahiran Kajang, Selangor itu memberitahu, bakatnya bermula sewaktu dia masih kecil selepas kerap mencoteng dinding rumah sendiri sehingga kerap dimarahi oleh ibu bapanya.

Sewaktu berada di sekolah menengah, dia mula terdedah dengan lukisan selepas banyak membaca komik sebelum mula berjinak-jinak dengan melakukan lukisan grafiti pada ruang dinding yang terbiar bersama rakan-rakannya.

“Ketika itu, seni grafiti masih dipandang serong oleh masyarakat dan dianggap sebagai perbuatan vandalisme.

“Malah, grafiti juga sering dianggap sebagai seni jalanan yang banyak dikaitkan dengan perkara-perkara negatif seperti mempunyai perkataan-perkataan yang biasanya berunsur lucah, lucu dan berbau politik selain diconteng di tempat-tempat awam seperti tembok, dinding bangunan serta di lorong-lorong.

“Namun, saya melakukan lukisan grafiti bukan kerana pengaruh vandalisme tetapi disebabkan oleh terlalu meminati seni grafiti,” katanya.

Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahirannya dalam dunia seni, dia mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dalam bidang Seni Reka Bentuk dan Grafik pada tahun 2006 sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda Grafik dan Ilustrasi di UiTM Shah Alam, Selangor.

Penyertaannya dalam pertandingan grafiti bermula pada tahun 2008 sebagai mengambil pendedahan dan pengalaman selain turut terlibat dalam melakukan demonstrasi serta pertunjukan.

“Saya pernah mendapat tempat pertama pada pertandingan KUL Design bagi tahun 2010 dan 2012 yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Malah, pada Festival Grafiti Antarabangsa ONO‘U yang berlangsung di Tahiti pada tahun 2015, nama saya termasuk dalam kelompok 20 peserta terbaik dunia.

“Walaupun tidak mengungguli festival itu, saya berbangga apabila berjaya membawa nama Malaysia ke persada dunia dalam seni lukisan grafiti,” katanya.

Selepas berpengalaman menyertai beberapa pertandingan di dalam dan di luar negara, Katun mula menerima tawaran daripada pelbagai pihak untuk melakukan demonstrasi melukis grafiti termasuklah di Korea Selatan, Australia, Indonesia, Jepun, Taiwan dan China.

FESTIVAL Grafiti Antarabangsa ONOU yang berlangsung di Tahiti adalah antara program yang mengangkat grafiti sebagai karya seni.

Demonstrasi

Malah, bermula Oktober tahun lalu, pihak Nippon Paint Malaysia yang menghidu bakatnya turut menawarkan kerjasama dengan melantiknya sebagai pelukis jemputan yang akan membuat demonstrasi menghasilkan grafiti dalam bengkel yang dianjurkan oleh syarikat berkenaan.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, Katun berkata, dia merancang untuk menerbitkan buku berkaitan seni lukisan grafiti, terutamanya tentang karya-karya yang pernah dihasilkan sebelum ini.

“Tujuan utama penerbitan buku itu adalah saya mahu semua pihak tidak lagi menganggap grafiti sebagai satu vandalisme tetapi mengangkatnya sebagai karya seni yang mempunyai nilai dan kedudukan yang tersendiri,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Pemasaran, Nippon Paint, Jenny Fong berkata, pemilihan Katun sebagai artis seni jemputan bagi bengkel seni grafiti yang dianjurkan pihaknya pada tahun lalu merupakan suatu pilihan yang tepat.

“Kami telah meneliti banyak hasil kerja Katun dan memang diakui dia mempunyai ciri-ciri seorang pelukis grafiti yang hebat.

“Katun juga mampu menjadikan grafiti sebagai satu seni yang menarik dan menjadi penghias sesuatu kawasan, bukan lagi sebagai vandalisme,” katanya.

Jelas Jenny lagi, kemahiran yang ada pada Katun dalam menghasilkan lukisan grafiti juga sangat bersesuaian dengan cat sembur PYLOX yang dipasarkan oleh syarikat berkenaan.

Ini kerana cat itu sangat sesuai untuk digunakan dalam menghasilkan lukisan grafiti sama ada pada dinding simen mahupun permukaan kayu.

Jelas Jenny lagi, selain lukisan gratifi, PYLOX juga merupakan cat sembur yang sesuai untuk digunakan bagi kerja-kerja membaik pulih peralatan, perabot serta pertukangan kayu.

LUKISAN grafiti antara kegiatan yang semakin digemari golongan muda di negara ini. – Gambar hiasan
KATUN menjalin kerjasama dengan Nippon Paint sebagai artis seni yang akan membuat demonstrasi dalam menjayakan bengkel seni grafiti anjuran syarikat itu.
KATUN sering menggunakan gabungan warna yang pelbagai bagi menghasilkan lukisan grafiti yang menarik.

Oleh: Rizam Zakariya

Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/genk/perjuangkan-grafiti-sebagai-satu-seni-1.644688

8
0