Daripada hobi jadi sumber pendapatan

SARUNG bantal dengan rekabentuk menarik sedia dijual kepada pelanggan yang berminat.

JOHOR BAHRU 10 Jan. – Benar kata orang, sekiranya bijak mengambil peluang dengan kebolehan yang dimiliki, aktiviti yang dahulunya sekadar hobi mampu menjana pendapatan melebihi pekerjaan harian.

Atas minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan, anak muda yang menetap di Skudai, Khairul Adzwan Khai­rul­lah, 28, nekad mengejar cita-cita bergelar usahawan berjaya walaupun kini bekerja sebagai seorang jurutera.

Apabila hobi itu digabungkan dengan cita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya, Khai­rul Adzwan yakin terdapat me­rebut peluang perniagaan yang boleh diceburinya. Justeru, dia mula menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan dan secara dalam talian seawal tahun 2008 dengan menjual barangan kraf tangan dan cenderamata.

“Saya gemar mereka sesuatu produk seperti kraf tangan dan cenderamata yang menjadikan sesuatu produk itu unik kerana dihasilkan lain daripada yang lain.

“Produk yang dihasilkan itu untuk dijadikan sama ada barangan perhiasan, sebagai ha­diah mahupun untuk kegunaan harian. Bermula dari situ, saya melihat bidang ini sebagai satu peluang perniagaan sebelum mula memasarkan produk secara serius secara online,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Khairul Adzwan yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mula menjenamakan produknya di bawah jenama KRLbrands.

Antara produk yang dihasilkan pemuda yang mendirikan rumah tangga dengan Nur Hidayah Abu Bakar, 28, pada tahun 2015 ini termasuk beg, bingkai gambar, bantal, barangan bayi dan pelbagai produk kraf tangan.

Dia me­­­ng­akui produk keluaran KRLbrands bukan sahaja mendapat permintaan daripada pelanggan di negeri ini, malah dari seluruh negara.

“Lebih membanggakan, ada juga pelanggan saya dari negara jiran, Singapura,” katanya.

Kini, Khairul Adzwan turut mengintai peluang untuk menjadikan perniagaan sampingan­nya sebagai kerjaya sepenuh ma­sa demi menjamin masa depan le­bih baik untuk keluarga­nya.

“Harapan saya pada tahun ini untuk melibatkan diri dengan lebih serius dalam bidang perniagaan ini serta dapat mengeluarkan lebih banyak produk bermutu bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Bagi yang berminat untuk melihat produk yang dihasilkan, mereka boleh mengunjungi laman sosial KRLbrands seperti Facebook dan Instagram selain melayari laman sesawang www.krlbrands.com.

Produk kraftangan yang dihasilkan oleh KRLbrands.
Hasil kraf tangan terdiri daripada kayu dan kain terpakai menghasilkan barangan perhiasan yang berkonsepkan minimal dan moden.
Beg kecil yang boleh menyimpan telefon bimbit turut dihasilkan oleh KRLbrands.
Pelbagai jenis produk yang dihasilkan seperti beg, bingkai gambar, bantal, barangan bayi dan pelbagai kraftangan.

Oleh: 
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/daripada-hobi-jadi-sumber-pendapatan-1.588112#ixzz53pzz3MHG
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

0
0