Saean Motors tawar latihan praktikal kepada UiTM

John Lee (duduk, tiga dari kiri) bersama Hasan Mad (duduk, tengah) bersama peserta yang hadir dalam Program Bual Bicara Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Saean Motors Korea di Bangunan Canseleri UiTM Shah Alam, Selangor, semalam.

 

SHAH ALAM 13 Nov. – Syarikat pengeluar kende­raan elektrik Korea Selatan, Saean Motors Korea bersedia menerima pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menjalani latihan praktikal di konglomerat terbabit.

Pengerusi dan juga Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Dr. John Lee berkata, syarikat tersebut sentiasa mengalu-alukan jika UiTM berhasrat mengadakan kerjasama dengan pihaknya bagi mendalami bidang kejuruteraan kenderaan elektrik.

“Pada masa ini, Saean Motors menjalin kerjasama dengan University Seoul dalam bidang kenderaan mesra alam, mungkin pelajar dan tenaga pengajar UiTM boleh ditempatkan di sini,” katanya ketika berucap sempena Program Bual Bicara Bersama CEO Saean Motors di Bangunan Canseleri di sini hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama UiTM.

Yang turut hadir Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM, Prof. Dr. Mohamad Kamal Harun dan Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Prof. Madya Amer Shakir Zainol.

Tambah Lee, beliau mengakui UiTM mempunyai tenaga sumber manusia yang baik dan berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan universiti berkenaan bagi memperkasakan bidang reka cipta kereta elektrik pada masa depan.

Sementara itu, Hasan ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata, beliau berharap UiTM dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini dapat mengambil peluang atas keterbukaan pihak industri asing membuka pintu kepada mereka.

“Kita berharap pelajar dan pensyarah UiTM dapat mengambil peluang daripada tawaran pihak Saean Motors untuk mendalami ilmu industri kenderaan elektrik ini.

“Tawaran ini perlu diambil ke­rana Lee adalah antara CEO yang amat terkenal dalam bidang kenderaan elektrik pada masa ini dan saya harap satu hari nanti, Malaysia juga mampu menghasilkan kenderaan elektrik yang mempunyai ciri-ciri negara kita sendiri,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/permotoran/saean-motors-tawar-latihan-praktikal-kepada-uitm-1.572380#ixzz51J0SGTYU
© Utusan Melayu (M) Bhd

0
0