UiTM tubuh pusat simulasi, agensi pelancongan

TIMBALAN Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan UiTM, Prof Madya Wan Kamil Wan Mohamad (tiga kiri) memotong riben gimik perasmian UniTC sambil diperhatikan oleh Pengerusi Sri Sutera Travel (SST), Datuk Syed Ali Al Habshee (kiri), Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SST, Datuk Syed Razif Syed Yasin (dua kanan), Dekan FPHP, Prof Dr Muhammad Abdullah Hemdi (dua kiri) dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan (kanan) pada Majlis Pelancaran Pusat Latihan Simulasi dan Inkubator Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta agensi pelancongan sendiri, Universiti Travel Center (UniTC) di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam. – Foto Muhammad Sulaiman

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menubuhkan Pusat Latihan Simulasi dan Inkubator Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) serta agensi pelancongan sendiri, Universiti Travel Center (UniTC) dalam usaha mengukuhkan kemahiran pelajar.

Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), Prof Dr Muhammad Abdullah Hemdi, berkata penubuhan P&P dan UniTC itu adalah hasil kerjasama dengan agensi pelancongan, Sri Sutera Travel (SST).

“Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan universiti dengan pihak industri, tetapi turut dijadikan platform untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran pelajar.

“Sudah tentu graduan FPHP UiTM laris di pasaran kerja sebaik saja mereka menamatkan pengajian kerana mereka sudah terlatih dengan susun atur serta cara kerja di sebuah agensi.

“Selain itu, UniTC juga adalah satu inisiatif untuk menjana pendapatan kepada universiti.

“FPHP menyeru kepada kakitangan atau pelajar yang ingin melancong untuk membeli pakej menarik dengan UniTC,” katanya pada majlis pelancaran P&P dan UniTC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor Bahagian Hubungan Industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan UiTM, Prof Madya Wan Kamil Wan Mohamad; Pengerusi SST, Datuk Syed Ali Al Habshee serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SST, Datuk Syed Razif Syed Yasin.

Sementara itu, Syed Razif berkata, pihaknya yakin kerjasama berkenaan akan memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini membolehkan UiTM melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri kerana mereka terlebih dahulu menimba pengalaman di pusat latihan serta agensi pelancongan yang dibuka.

“Bagi kami pula, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat dan kami juga mahu melihat lebih ramai graduan berkualiti dapat dilahirkan menerusi kerjasama ini,” katanya.

Oleh Norzamira Che Noh (bhnews@bh.com.my)

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2017/12/359680/uitm-tubuh-pusat-simulasi-agensi-pelancongan

0
0